Isu wanita adalah isu kemanusiaan kita bersama

Dalam kegembiraan kita meraikan Hari Wanita, jangan kita lupa tentang pelbagai isu yang melatari dan selalu membelengu golongan wanita.Dalam kegembiraan kita meraikan Hari Wanita, jangan kita lupa tentang pelbagai isu yang melatari dan selalu membelengu golongan wanita.

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) mengambil kesempatan ini pada tarikh keramat 8 Mac 2017 untuk mengucapkan Selamat Hari Wanita buat semua wanita di Malaysia dan di seluruh dunia.

Kita mengakui dan boleh merasai sendiri peri pentingnya seorang wanita untuk pembangunan keluarga, masyarakat dan negara. Peranan yang dimainkan oleh golongan wanita sejak zaman berzaman dalam pelbagai sektor wajar mendapat pengiktirafan dan penghargaan yang sepatutnya. Janganlah kita hanya menghargai wanita di hari ini, sebaliknya mereka adalah golongan yang wajib dihormati dan dihargai setiap masa dan setiap hari.

Antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian adalah isu-isu tentang wanita ini tidak sewajarnya hanya dibiarkan golongan wanita sahaja bercakap dan berjuang untuknya.

Kita seharusnya merasakan isu-isu seperti keganasan rumahtangga, pemerdagangan wanita, jenayah rogol, penderaan, pelarian wanita dan sebagainya sebagai isu kemanusiaan serius yang seharusnya mendapat perhatian kita semua.

Dalam kegembiraan kita meraikan Hari Wanita, jangan kita lupa tentang pelbagai isu yang melatari dan selalu membelengu golongan wanita. Di sebalik segala hak dan akta yang ada, masih terdapat beberapa kelompangan dalam sistem perundangan kita di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa yang memerlukan kita untuk terus memperbaiki pelaksanaannya dari semasa.

Serantau Muslim juga berpandangan bahawa kita perlu lebih membuka peluang dan ruang untuk golongan wanita terus menyerlahkan potensi mereka dalam pelbagai bidang.

Selain program dan aktiviti pemerkasaan golongan wanita yang perlu diteruskan, aspek ‘sistem sokongan’ kepada golongan wanita yang bekerja mahupun yang memilih untuk menjadi suri rumah tangga juga seharusnya dipertingkatkan. Wanita memerlukan sistem sokongan yang baik dari sudut fizikal dan emosi untuk terus memberikan khidmat yang terbaik di lapangan pekerjaan mahupun dalam aspek pembinaan keluarga dalam rumah.

Justeru Serantau Muslim berharap tema Hari Wanita Sedunia tahun ini “Be Bold For Change” benar-benar dapat direalisasikan oleh semua kita tanpa mengira jantina dan organisasi.

Apa yang paling penting dan utama adalah kerjasama erat semua pihak untuk terus memartabatkan wanita.


*Penulis Nurul Suhadah Shuib adalah Pengerusi Hal Ehwal wanita Serantau Muslim.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel