PKPIM gesa kerajaan fokus pembangunan universiti

Universiti perlu kualiti bukan sekadar bangunan megah

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa pihak kerajaan Malaysia untuk memusatkan perhatian kepada usaha menyemak semula polisi yang dicadangkan semasa pembentangan Bajet 2017 yang secara drastik mengurangkan dana yang diberikan kepada universiti-universiti awam, daripada terus mencadangkan polisi-polisi secara 'ad hoc' dan bersifat reaktif dalam menangani isu kekurangan dana yang dialami oleh universiti awam tempatan.

Terbaru, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak bercadang untuk membuka ruang 5% kepada pelajar-pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di Malaysia dalam bidang perubatan.

Beliau dipetik menyatakan bahawa polisi ini akan dapat membantu mendapatkan dana tambahan untuk universiti-universiti awam, memandangkan pelajar-pelajar antarabangsa dikenakan yuran penuh tanpa subsidi.

Namun, PKPIM mewakili suara mahasiswa Malaysia mempersoalkan keberkesanan polisi sedemikian mengambil kira bahawa 5% hanya merupakan jumlah yang sedikit jika dibandingkan dengan pemotongan dana yang dikenakan ke atas universiti-universiti yang mencecah bilion ringgit.

Keuntungan yang diperolehi daripada polisi berkenaan tidak akan mampu menampung 5% daripada defisit perbelanjaan hasil daripada polisi kerajaan.

Ditambah pula dengan isu berkenaan dengan pengurangan bilangan pensyarah di universiti awam yang dilaporkan media baru-baru ini, PKPIM amat prihatin dengan krisis yang berlaku di institusi pengajian tinggi awam dan impaknya terhadap kebajikan dan pembangunan intelektual mahasiswa.

Dikhuatiri yuran yang dikenakan ke atas mahasiswa akan dinaikkan, manakala kualiti pembelajaran di universiti akan merudum sekiranya lebih ramai pensyarah-pensyarah yang berpengalaman terpaksa 'dilepaskan' disebabkan pemotongan belanjawan universiti awam.

Fokus berlebihan pihak kerajaan dalam memastikan universiti-universiti awam di Malaysia mandiri dari segi kewangan juga dikhuatiri akan menghilangkan fokus universiti dalam membina kapasiti intelektual mahasiswa.

Sebaliknya, pihak pentadbiran universiti akan mengalihkan fokus penyediaan mahasiswa untuk menjadi 'pekerja' di industri-industri kapitalis yang ternyata hanya mementingkan keuntungan berbanding pembangunan intelektual mahasiswa.

Hasilnya, pemimpin-pemimpin tertinggi universiti-universiti tempatan tidak lagi dilantik daripada kalangan akademik, tetapi dipilih kerana kemampuan mereka sebagai birokrat dalam usaha mencari dana, seperti yang disebut oleh Dato' Dr. Siddiq Fadzil dalam karyanya, Pendidikan Al-Hikmah.

Kesannya sudah lama terasa dalam masyarakat Malaysia seperti diungkapkan oleh Profesor Emeritus Khoo Kay Kim, masyarakat kini "meminggirkan sejarah".

Ia merupakan cerminan mentaliti yang diwujudkan di universiti-universiti awam yang meminggirkan subjek sains sosial seperti sejarah hanya disebabkan ia tidak menguntungkan pihak universiti sepertimana subjek teknikal yang diingini oleh pihak industri kapitalis.

Subjek yang 'menghidupkan' nilai keilmuan dan pemikiran manusia seperti sejarah dan falsafah dikesampingkan, manakala subjek berkaitan teknikal, sains dan industri diberikan perhatian penuh dek kerana 'diperlukan' oleh industri.

Kerugian hasil daripada polisi kerajaan yang ke atas IPTA akan melahirkan mahasiswa yang cemerlang tanpa jiwa keilmuan dan peradaban, seperti yang termaktub dalam kata-kata intelektual terkemuka Harry Lewis, "excellence without a soul'.

Pembinaan sebuah tamadun yang cemerlang bergantung penuh pada kemampuan institusi-institusi pendidikannya melahirkan rakyat yang berketerampilan, dan bukannya sekadar mencetak 'modal insan' yang dipersiapkan untuk sekadar menjadi 'pekerja' dalam mesin besar kapitalisme.

Justeru, PKPIM sekali lagi menggesa kerajaan Malaysia untuk menyemak semula semula polisi pendidikan tinggi negara. Tindakan-tindakan 'ad hoc' tidak akan dapat memperbaiki krisis keilmuan yang berlaku di universiti-universiti tempatan.

Mencanang kejayaan menaikkan 'ranking' universiti awam di Malaysia ke tempat yang lebih tinggi tanpa sebarang perubahan substantif dalam pembangunan mahasiswa hanya akan meneruskan kesilapan lama: memperagakan kecantikan kosmetik tanpa mempedulikan keusangan dalaman.

Awang Syazuan Shafiq Awang Jaya adalah Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel