Konsep Muwatinun dalam menolak fikrah Khawarij moden

Ada yang tidak berpuas hati  terutama dalam kalangan yang mempunyai fikrah takfiri atau khawarij moden ini.Ada yang tidak berpuas hati terutama dalam kalangan yang mempunyai fikrah takfiri atau khawarij moden ini.

Khawarij adalah ketakutan yang berlaku dalam kalangan umat Islam. Kewujudan mereka, memberi bahaya kepada muslim. Sudah pasti, amat bahaya kewujudan mereka untuk non muslim.

Khawarij menampilkan sikap mengkafirkan sesama muslim. Dikenali dengan istilah takfiri. Kalangan yang berbeda pendapat dengan mereka, dianggap sebagai terkeluar dari Islam. Modus operandi mereka, bermula dengan menuduh taghut, kemudiannya kafir. Kalau yang jenis berani, mereka sanggup isytihar halal darah dan percaya mendapat pahala jika membunuh, dan dianggap jihad jika mereka ditangkap dan dikenakan hukuman dari pihak kerajaan.

Di Syria dan Iraq, amalan khawarij ini ketara diamalkan oleh satu kalangan yang dikenali sebagai ISIS. Cita-cita mereka adalah negara Islam. Jika khawarij dahulu, mengungkapkan “tiada hukum kecuali hukum Allah” menjadikan mereka berani “takfir” terhadap Saidina Ali, khawarij moden pula berani mengungkapkan dengan ungkapan yang sama untuk mengkafirkan kalangan yang berbeda pendapat dengan mereka. Jika kurang berani, mereka menggunakan ayat berlapik seperti munafiq haraki, tanam di jirat dan sebagainya.

Tuduhan Harbi

Penggunaan istilah Kafir Harbi dan Zimmi tidak pernah wujud dalam nas secara sareh. Ia adalah istilah yang diwujudkan pada era Dinasti Islam yang beroreantasikan konsep monarki. Ia tidak lebih kecuali konsep kewarganegaraan pada era dinasti. Seseorang non Muslim yang masuk ke dalam sesebuah kerajaan, dianggap sebagai warganegara kelas pertama dengan memeluk agama Islam. Jika tidak mahu, diminta membayar jizyah, makanya dianggap sebagai kafir zimmi. Jika ingkar dari membayar jizyah, maka ia dikenali sebagai kafir harbi.

Kafir Harbi diwujudkan untuk ambil sikap berhati-hati. Ini kerana, keingkaran mereka membayar jizyah menampilkan wujud sifat mahu memberontak di masa akan datang.

Era kini, terutama di Malaysia, pengamalan kewarganegaraan tidak lagi beroreantasikan anutan agama, sebaliknya berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan berdasarkan perlembagaan yang dipersetujui secara majoriti menerusi ahli-ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya.

Memandangkan ini bentuknya, sudah pasti istilah kafir Harbi dan Zimmi sudah tidak relevan diamalkan. Diamalkan juga dalam kerangka negara bangsa adalah sama seperti memberi ubat sakit perut kepada orang yang pening kepala. Sakit perut tidak hilang, kepala yang tidak sihat akan ditimpa penyakit pula.

Ekoran itu, pendekatan yang benar adalah konsep muwatinun, iaitu kewarganegaraan sepertimana yang diamalkan sedia ada. Justeru, pengamalan ini sudah pasti menjadikan pengamalan kafir harbi dan zimmi tidak diguna pakai lagi.

Pengamalan sebegini tidak disetujui bagi kalangan khawarij moden. Mereka mengembalikan cara pengamalan konsep khilafah dalam era Dinasti dahulu atas wajah baru, iaitu diatas namakan Daulah Islamiyyah atau negara Islam. Walaupun pengamalan Daulah Islam  tidak wujud sama sekali dalam teks wahyu, tetapi mereka tetap mempertahankannya. Kesannya, dalam kerangka negara bangsa pun, mereka boleh menuduh non Muslim dengan tuduhan harbi. Non Muslim yang bersetuju dengan mereka disebut sebagai zimmi, walaupun pengamalan jizyah tidak diamalkan lagi dalam sesebuah negara.

Dengan sikap sebegini, sudah pasti keamanan yang wujud dalam negara bangsa tidak tercapai, sebaliknya sikap sebegini melahirkan kekacauan dalam sesebuah negara atas nama agama. Prejudis terhadap non muslim tetap membeku dalam diri mereka. Kalangan muslim yang tidak setuju dengan mereka dituduh sebagai kafir (Takfir), sedangkan non Muslim yang tidak bersetuju dengan mereka akan dituduh sebagai kafir harbi.

Muwatinun

Muwatinun, atau konsep kewarganegaraan, setakat ini adalah solusi terbaik untuk memastikan keamanan dalam sesebuah negara boleh kekal atas asas agama. Konsep ini juga tidak memberikan peluang menggunakan nama agama untuk melakukan serangan terhadap non muslim yang berbeda pendapat dengan pihak kerajaan.

Dalam konsep dinasti khalifah Islam dahulu, rakyat yang tidak bersetuju dengan pemerintah boleh dibunuh, dianggap sebagai pemberontak atau bughah. Pembunuhan secara persenjataan dianggap halal, malah diinstitusikan. Justeru, pembunuhan akan dianggap sebagai tidak salah dan dianggap bertepatan dengan agama.

Hal ini berbeda dengan konsep muwatinun, terutama dalam kerangka demokrasi. Perbedaan pendapat antara pemerintah dengan rakyat tidak dianggap sebagai salah, malahan rakyat diberikan peluang untuk melawan pemerintah, malahan menjatuhkannya dengan cara pilihanraya secara demokrasi. Pembunuhan dilakukan oleh pemerintah terhadap rakyat dianggap sebagai salah dan pencabulan terhadap prinsip muwatinun dan demokrasi. Bermakna, pembunuhan tidak boleh diinstitusikan, malahan dianggap sebagai jenayah dan pencabulan yang maha dahsyat.

Khawij tidak setuju?

Tidak boleh dinafikan, kalangan khawarij tidak selesa dengan pendekatan ini. Ini kerana, ia akan menghalang pengamalan mereka yang berhukum kufur kepada muslim yang tidak bersetuju dengan mereka; dan harbi kepada non Muslim yang berbeda pendapat dengan mereka.

Dalam keadaan begitu pun, mereka tetap amalkan juga atas alasan dharurat. Malahan, tidak hairan mereka tidak akan segan silu akan menuduh perundangan dalam negara bangsa itu sebagai taghut dan terkeluar dari islam.

Perundangan yang sedia ada, walaupun bertepatan dengan prinsip takzir, tanpa rasa bersalah mereka anggap ia sebagai taghut. Pada mereka, perundangan ini wajar dijatuhkan. Tidak menjatuhkan sistem perundangan tersebut dianggap sebagai kurang iman.

Justeru, jelas kewujudan konsep muwatinun amat baik untuk melahirkan negara yang baik. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa ada kalangan yang tidak berpuas hati juga, terutama dalam kalangan yang mempunyai fikrah takfiri atau khawarij moden ini. Walaubagaimana pun, ia wajar diwacanakan sehingga berkembang. Terutama, usaha mencapai kebaikan dalam sesuatu pentadbiran negara adalah tuntutan agama.

Wallahu ‘Alam.

*Wan Ji bin Wan Hussin dari Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: