Deklarasi Tekad Budaya dibaca di khalayak

 Tan Sri Nordin KardiTan Sri Nordin KardiTerima kasih Tan Sri Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), yang mencadangkan kepada saya supaya Pertemuan Seni di USAS 7-9 April diakhiri dengan membacakan suatu deklarasi yang dinamakan 'Deklarasi Kuala Kangsar', sebagai rumusan kepada segala perbincangan di dalam pertemuan itu.

Tidak terfikir oleh saya ketika membacakannya di hadapan para seniman-budayawan-ilmuwan peserta Pertemuan Seni serta beberapa orang wartawan tempatan dan Indonesia pada petang Ahad itu, di USAS Kuala Kangsar, bahawa deklarasi empat perkara itu akan hidup dan nanti menemui khalayaknya yang begitu besar dan luas cakupannya.

Pada mulanya saya hanya mempamerkan senarai nama-nama badan atau organisasi yang menyokong deklarasi itu, di fesbuk, satu demi satu, dengan menjangka mencapai 30 badan/organisasi sebelum diadakan seminar lanjutannya bersama sidang media di Kuala Lumpur.

Badan pertama yang menyatakan sokongan ialah Ziarah Karyawan (ZK) pimpinan Yassin Salleh; diikuti oleh Gasewap (Pulau Pinang), Tajulmedia Melayu, Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu), Numera Malaysia (pimpinan SN Ahmad Kamal Abdullah) dan Persatuan Alumni Aswara (pimpinan Lenny Erwan).

Penyokong yang ketujuh ialah sebuah masjid yang biasa menganjurkan aktiviti seni dan sastera, iaitu Masjid Abdul Rahman Bin Auf, Puchong, yang SN Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) menjadi nazirnya.

Seorang ahli ZK di Negeri Sembilan kebetulan terlibat dengan suatu pesta di Port Dickson selama tiga hari pada 29 April - 1 Mei. Lalu dia memasukkan acara Baca Puisi oleh ZK dan juga membaca Deklarasi Kuala Kangsar (Deklarasi KK) di hadapan khalayak umum Festival Persilatan Tanah Beradat, dalam pesta tersebut.

Hal ini, seperti kebiasaan ZK, diuar-uarkan melalui laman sosial fesbuk beberapa hari menjelang tarikh berkenaan, untuk makluman ahli-ahlinya di seluruh Malaysia, Indonesia dan Singapura, dan juga promosi khalayak umum.

Sementara itu seorang AJK PAKSI, Chan Yong Sin yang juga rakan empunya galeri Xin Art Space (Setia Wangsa), akan mengadakan Pameran Kaligrafi Puisi-Puisi Malaysia, dan perasmiannya pada 23 April, oleh SN A Samad Said.

Chan Yong Sin bersetuju Deklarasi KK dibacakan dalam majlis perasmian pameran itu, dan teksnya disebarkan kepada khalayak. Demikianlah Deklarasi KK yang dibacakan oleh Shariffah Khadijah pada petang Ahad tersebut telah memulakan suatu program baru dalam gerakan Tekad Budaya.

Empat hari selepas itu, pada 27 April saya menunaikan jemputan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Selangor (Unisel) untuk berforum bersama tiga panel yang lain, Datuk Abd Jalil Ali, Yassin Saleh dan seorang wakil pelajar, dengan tajuk "Seni alat pembebasan?"

Sebelum forum dimulakan, pengarah program tersebut, Mashitah Sulaiman tampil bersama rakan-rakannya pelakon teater, membacakan Deklarasi KK, dengan diikuti oleh khalayak yang membaca teksnya di tangan masing-masing. Dan itu adalah ikrar sokongan Majlis Perwakilan Pelajar Unisel terhadap deklarasi tersebut.

Bacaan Deklarasi KK yang ketiga berlaku di sebuah panggung teater di pekan lama Sungai Lembing, Kuantan, pada 29 April, iaitu menjadi satu daripada acara Festival Teater Kuantan (Festek) anjuran Majlis Perbandaran Kuantan dan Anggun Performing Arts (pimpinan Roslan Madun).

Roslan Madun yang turut hadir di Pertemuan Seni di USAS adalah tokoh seni-budaya yang paling aktif mempromosi fahaman Tekad Budaya. Beliau telah menganjurkan ceramah dan forum Tekad Budaya dan menjemput saya membicarakannya dalam program-program anjurannya sebelum ini, seperti di Temerloh, di Universiti Putra, di Rumah Pena, dan di UiTM Jengka, Pahang.

Ketika pelbagai badan/organisasi seni-budaya menyatakan sokongan kepada Deklarasi ini, Roslan sengaja menundakan pernyataan sokongannya ke suatu saat yang dirancangnya di dalam Festek (dia menjadi pengarah Festek).

Pagi Sabtu 29 April itu diadakan suatu slot untuk saya berbicara mengenai Tekad Budaya, bersama dengannya. Semestinyalah saya juga menjelaskan mengenai Deklarasi Kuala Kangsar, yang merupakan puncak kepada gerakan Tekad Budaya sehingga ini.

Suatu hal yang menarik dalam sesi perbincangan ini Datuk Dzulkifli Yaakob, Pegawai Kemajuan Negeri Pahang, yang merupakan tulang belakang penganjuran Festek, turut sama menyatakan pandangannya yang bersetuju dengan gagasan Tekad Budaya.

Di akhir sesi tersebut Roslan Madun mengumumkan akan membaca Deklarasi KK, dan menjemput sesiapa saja yang mewakili badan/organisasi masing-masing yang ingin menyatakan sokongan kepada Deklarasi, untuk naik ke pentas.

Orang pertama yang naik pentas ialah Datuk Mohd Mansor Abdullah, Ketua Satu Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP). Ini amat menggembirakan saya. (Sebelum ini satu lagi badan kerabat Gapena yang menyatakan sokongan ialah Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Melaka.) Dan ini diikuti oleh sebelas lagi wakil badan/organisasi lain yang menyokong, termasuk dari Politeknik Mersing dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di Kuala Lipis dan di Terangganu.

Lalu ikrar atau bacaan pemasyhuran secara penuh adat istiadat yang dilakukan oleh Ziarah Karyawan di Pesta Port Dickson pada 1 Mei itupun menjadi aktiviti bacaan Deklarasi KK yang keempat, walaupun ia paling awal dirancang.

Tan Sri Nordin Kardi yang mencetuskan Deklarasi ini turut hadir di majlis tersebut, dan turut sama membacanya, dipimpin oleh Penghulu ZK, Mohd Tazalli Tamin.

Menjelang seminar khas Deklarasi yang akan dibuat di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 Mei ini, saya percaya tentu akan ada lagi beberapa aktiviti Baca Deklarasi KK akan diadakan. Siapakah yang akan menganjurkannya?

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: