Surat Terbuka buat kepimpinan Pakatan Harapan

Pimpinan Pakatan Harapan kurang fokus untuk mendengar denyut nadi dan harapan rakyat.

Tanah tercinta ini telah menyaksikan perubahan iklim politik yang pelbagai, jatuh bangun perjuangan yang kononnya untuk rakyat namun yang terkesan dengan buruknya juga adalah rakyat, hinggakan rakyat kebanyakan terkontang-kanting, lemas dan mual merasakan segenap pimpinan di atas yang seharusnya memimpin dan menjadi suara keramat memperjuangkan nasib mereka kelihatan hanyut dalam dilema lampau yang sememangnya meninggalkan parut, namun siapa yang lebih penting? Pimpinan ataupun rakyat?

Dari kesayupan genderang perang PRU14 semakin kedengaran, malangnya rata-rata pimpinan Pakatan Harapan kurang fokus untuk mendengar denyut nadi dan harapan rakyat. Adakah benar pimpinan tertinggi Pakatan Harapan hari ini mengganggap bahawa PRU14 sebagai 'mother of all elections'? Setelah rakyat begitu terbeban dengan GST, hutang negara, isu rasuah yang melibatkan kerajaan UMNO-BN serta kesan peningkatan kos sara hidup, masalah pengangguran dan lain-lain hal namun adakah Pakatan Harapan berdiri teguh bergandingan ikhlas dalam memperjuangkannya demi rakyat?

Atau pimpinan Pakatan Harapan lebih sibuk menuba racun kesumat atas perlakuan silam sedangkan rakyat terkapai-kapai menaruh harap. Dalam keadaan Umno-BN hari ini begitu lemah dengan pelbagai skandal yang terpalit, seharusnya inilah masa yang terbaik untuk kita menunjukkan kesatuan dan menjaga kerukunan untuk menjatuhkan Umno-BN dalam satu kekuatan. Bukannya mengambil kesempatan untuk mencalar perhubungan dan menduga kesetiaan.

Kita tidak lagi seharusnya memenangi hati rakyat atas kelemahan Umno sebaliknya kita harus menang disebabkan kekuatan dan kebersamaan kita, bukanlah masa untuk menunjukkan bahawa kita merupakan alternatif kerana rakyat tiada pilihan lain namun inilah masa yang begitu baik menonjolkan bahawa kitalah kesatuan tunggal yang membawa harapan jutaan rakyat Malaysia.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengeluarkan kenyataan suatu masa di awal penubuhan PPBM dengan menyatakan pendirian 'peribadi' beliau bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah individu selayaknya menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas UMNO-BN dijatuhkan. Kemudian kenyataan tun itu telah mendapat kecaman hebat dari rakan-rakan Pakatan Harapan dan semenjak dari itu tun sama sekali tidak pernah menyatakan pandangannya mahupun pandangan mewakili parti atas dasar menjaga kerukunan dan kesatuan demi kebersamaan dalam Pakatan Harapan.

Malah dikemudiannya tun juga pernah menyatakan bahawa beliau tidak kisah siapa lagi yang bakal menjadi Perdana Menteri asalkan ada perbincangan yang baik dan menguntungkan rakyat dalam kesepaduan sesama pakatan, tetapi apa yang lebih penting bagi mengelakkan salah faham adalah untuk Pakatan Harapan terlebih dahulu fokus untuk menjatuhkan UMNO-BN dalam waktu yang sama mencari kesepakatan siapa yang bakal menerajui Malaysia.

Namun apa yang berlaku di Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah amat sedih dan mengecewakan sekali. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jelas diserang, kongres yang seharusnya mampu dijadikan medan penyatuan untuk mengikat jiwa yang terpisah bertukar menjadi medan melempias kekecewaan dan kemarahan lampau tanpa sedikitpun memikirkan soal sensitiviti semasa dalam misi bersama dalam Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya.

Kongres itu telah memperlihatkan dengan jelas sokongan Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz untuk pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah menurunkan tandatangan sokongan bagi kempen Bebas Anwar. Tapi semua itu seakan tidak dihiraukan apabila kepimpinan tertinggi PPBM ini seakan 'dipaksa' dan 'diperangkap' untuk menyatakan pendirian atas sokongan kepada Datuk Seri Wan Azizah & Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia Ke-7! Walhal tiada sebarang perbincangan apatah lagi kesepakatan yang dicapai mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri. Apabila mereka tidak mengangkat plakad seperti pimpinan tertinggi yang lain, mereka dimalukan di depan khalayak umum. Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago siap melabel Tun Mahathir & PPBM sebagai, “New kid on the block”, sekaligus berkata bahawa kita perlu terus akur kepada keputusan yang dibuat oleh Pakatan Harapan sebelum ini yang mengangkat Wan Azizah dan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri. Ini bertentangan dengan dasar Pakatan Harapan yang mengutamakan konsensus, tetapi dikebelakangkan oleh sesetengah pimpinan tertinggi sendiri.

Apakah motif tindakan tersebut? Dan beberapa pimpinan lain dalam Pakatan Harapan? Adakah suatu kepuasan dan kebanggaan bagi mereka di sebalik tindakan ini yang dapat memalukan Tun, Tan Sri Muhyiddin dan PPBM? Adakah mereka merasakan sokongan rakyat khususnya orang Melayu akan bersama mereka dengan perlakuan sebegitu yang mampu mencalar keutuhan bersama dalam pakatan? Adakah mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan PPBM? Sejauh mana keikhlasan mereka menerima PPBM dalam Pakatan Harapan?.
Saya sendiri menandatangani petisyen Bebas Anwar. Saya sendiri pernah menyatakan sebelum ini bahawa jika Anwar bersama dengan kita sekarang, sudah pasti Najib sudah tumbang. Saya sendiri mendukung perjuangannya untuk mereformasikan institutisi institusi demokrasi negara. Tetapi jangan lah taksub sampai soal perlembagaan, undang-undang & strategi memenangi pilihanraya dikebelakangkan kerana ketaksuban sesetengah pihak. Ketaksuban ini sampai ke satu tahap di mana rakan seperjuangan di “ambush” semasa kongres PKR. Kalau kita kalah PRU14, Datuk Seri Anwar tetap tidak bolek dinaikkan sebagai Perdana Menteri. Maka dengan itu, fokus utama kita sepatutnya adalah untuk memenangi pilihan raya!

Memang susah untuk ditelan setelah ada kenangan pahit yang pernah dilalui, namun adilkah apabila dalam kalangan ahli dibiarkan untuk terus disemarak api kebencian dan dendam andai kiranya kesalahan yang suatu masa pernah dilakukan bapak-bapak kita hingga rakyat terhukum? Kita hanya mewarisi pertelingkahan silam yang cukup menghukum rakyat, namun adakah kita sanggup untuk membiarkan rakyat menderita kerana kesalahan lalu dan kelemahan kita masa kini hinggakan Umno mampu terus berkuasa. Ini bukan lagi salah Umno. Ini salah kita.

Benar sukar untuk kami fahami akan segala perit yang ditanggung dari ahli keluarga, para penyokong dan pendokong PKR. Hakikatnya amat susah untuk saya menulis warkah ini, kita mengharapkan suatu lanskap politik baharu di Malaysia yang ikhlas memperjuangkan rakyat. Rakyat dambakan kepimpinan yang mampu memperjuangkan nasib mereka yang begitu menekan. Hal yang pernah terjadi sememangnya menyakitkan, tiada penafian! Namun ini mungkin pengorbanan terbesar kita sendiri dalam kita sama mencari kesepaduan demi masa depan lantas keluar dari sengketa silam. Jika tidak, sampai bila? Susah tapi tak mustahil!.

Rentetan itu, saya tertarik untuk bereaksi akan jalan penyelesaiannya, saya amat bersetuju dengan penulisan 'Warkah Dari Penjara' oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenyataan beliau bahawa keputusan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi Pakatan harapan haruslah ditentukan dan dipilih oleh rakyat! Bukannya golongan elitis atau kepimpinan tinggi yang menentukannya.

Kerana itu saya mencadangkan untuk diadakan satu undian yang dikelolakan oleh suatu badan khas dalam kadar segera, bukan dari PPBM, PKR, DAP mahupun Amanah. Badan bebas ini harus mendapatkan bancian atau undian mengenai jumlah sokongan rakyat keatas beberapa calon pimpinan tertinggi dari setiap parti dalam Pakatan Harapan. Menggunakan strategi ini bolehlah kita mengenalpasti siapakah pemimpin wibawa yang menjadi harapan rakyat ketika ini dan dijadikan garis panduan dalam perbincangan Pakatan Harapan untuk siapa yang lebih layak menerajui Malaysia.

Hasil undian atau bancian ini akan menjadi kayu ukur siapa yang lebih layak di mata rakyat, kerana itulah asas perjuangan kita. Moga dari itu, kita dapat membina satu kesepakatan dan kesepaduan yang utuh dan ikhlas yang menjaga kepentingan rakyat tanpa ada dominasi ke atas satu sama lain demi mencorak Malaysia yang lebih baik!

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: