Agenda pentadbiran Islam

Saya menyambut rasa syukur selepas Pakatan Harapan (Harapan) berjaya mengumumkan senarai organisasi mereka dan juga logo yang akan digunakan pada Pilihan Raya umum akan datang. Inilah saat yang ditunggu oleh rakyat untuk melihat satu gabungan kuat pembangkang yang mampu menyaingi Barisan Nasional (BN).

Namun ada pihak yang cuba membangkitkan isu agama kononnya tawaran 100 hari selepas Pakatan Harapan memerintah tidak langsung memberikan penekanan kepada Islam.

Islam dibina atas makna keadilan dan rahmat. Membina semula sebuah Negara yang sudah rosak dengan segala bentuk salah guna kuasa adalah perkara dharuriyat yang sangat dituntut. Kita sebenarnya telah menyelamatkan manusia dari kesengsaraan yang besar dan membuatkan mereka mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Negara yang tidak diurus dengan baik menyebabkan rakyatnya akan terus dihimpit dengan kemiskinan dan kesengsaraan.

Tawaran 100 hari yang dikemukakan tersebut jelas selari dengan prinsip politik yang dibawa oleh Amanah iaitu Politik Rahmah. Politik ini berdiri atas maksud Maqasid Asy-Syariah, meliputi juzuk keadilan hak dan ketelusan politik serta membawa keuntungan dan kebaikan kepada rakyat kebanyakannya.

Malang sekali jika kita hanya melihat agenda Islam itu dalam sisi pandang yang sangat kecil. Kita menolak pemikiran sekular yang mengambil agama suku politik suku, tetapi tanpa sedar kita sendiri sebenarnya telah mengamalkan politik sekular dengan menjuzuk Islam dalam hal-hal tertentu sahaja

Pemikiran Politik Islam yang difahami oleh sesetengah para pejuang Islam itu sendiri perlunya kepada pembaharuan dan tajdid. Jika kita berjuang untuk Islam namun langsung tidak menerima konsep keterbukaan maka kita akan merasakan tindakan yang kita lakukan sahaja yang menepati agenda Islam. Pentadbiran Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan hanya kepentingan diri atau kelompok tertentu sahaja sehingga mengenepikan prinsip kepentingan umum.

Hidup dalam sebuah Negara majmuk dengan pelbagai latar belakang agama dan bangsa memerlukan kita bijak dalam setiap tindakan politik untuk menampilkan agenda Islam. Tawaran 100 hari yang dikemukakan tersebut jelas menepati matlamat menjaga maslahah rakyat dan keadilan bukan kepada orang yang beragama Islam sahaja bahkan juga kepada masyarakat bukan Islam. Tidak perlu meletakkan istilah arab untuk menunjukkan ia adalah agenda Islam, cukup kita sedar matlamatnya akhirnya adalah demi kepentingan Islam.

Firman Allah swt dalam surah An-Nahl ayat 90 yang bermaksud:"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya".

*Ustaz Ahmad Awang Penasihat Umum Parti Amanah Negara

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: