“Ini gelombang ketiga,” kata Mazlan Aliman

“Ini gelombang ketiga,” kata Mazlan Aliman

Solidariti gagasan Selamatkan Malaysia dengan termeterainya Deklarasi Rakyat semalam disifatkan sebagai gelombang ketiga yang menyaksikan pergolakan Umno-BN, kata Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Solidariti gagasan Selamatkan Malaysia dengan termeterainya Deklarasi Rakyat semalam disifatkan sebagai gelombang ketiga yang menyaksikan pergolakan Umno-BN, kata Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman.

Menurut Pengerusi Biro Tanah dan Luar Bandar Amanah itu, gelombang pertama dapat dilihat dalam insiden perpecahan Umno pada 1987 yang kemudiannya berjaya ditangani pemimpin Pas ketika itu.

“Saya ingatkan kembali kebijaksanaan kepimpinan terdahulu ketika pergolakan Team A dan B yang menemukan Ku Li dengan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor (Presiden Pas).

“Orang ramai anggap Dewan Pemuda Pas ketika itu tidak sensitif sebab Ku Li merupakan arkitek menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan tetapi bacaan politik Ustaz Fadzil Noor tepat.

“Lahirnya Angkatan Perpaduan Ummah (APU), BN kalah teruk tidak dapat sebarang kerusi pada pilihan raya umum tahun 1990,” ujarnya dalam ucapan majlis makan malam sempena retreat biro berkenaan di Tanjung Bidara, Melaka malam tadi.

Lanjut berkongsikan pandangannya, beliau menganggap gelombang kedua berlaku ekoran tindakan Mahathir menyingkirkan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuatkuasa pada 2 September 1998.

“Sekali lagi tindakan Ustaz Fadzil Noor pada era Reformasi itu tepat. Ijtihad politik beliau terbukti dengan menziarahi Anwar Ibrahim di rumah. Gerak wujud dengan disertai sokongan banyak pihak dari NGO. Sekali lagi gelombang rakyat menolak Umno-BN berlaku,” ujarnya.

Ketepi sentimen politik kepartian

Mengulas situasi gelombang ketiga yang menyaksikan sokongan terhadap Umno terjejas teruk, Mazlan berkata kesepakatan untuk menyingkirkan Najib Razak begitu signifikan dalam perjuangan rakyat menuntut perubahan urus tadbir yang lebih baik.

“Dalam keadaan sokongan minoriti kepada Umno serta Mahathir yang tidak berkuasa dan dianggap bersara, kita melihat sentimen sempit politik kepartian diketepikan.

“Apabila Mahathir boleh duduk bersama Lim Kit Siang itu tanda momokan kempen Umno-BN selama ini kononnya DAP mengancam Melayu dan Islam jelas tidak benar sama sekali,” jelasnya.

Tidak keterlaluan menjangkakan Pakatan Harapan akan meraih sokongan besar sekaligus kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, Mazlan berkata, harapan tersebut tidak mustahil berlaku dengan syarat berlaku anjakan sokongan pengundi Melayu sehingga kira-kira lapan peratus.

“Gabungan kuat dari bekas Perdana Menteri, bekas TPM, Menteri Besar, pemimpin Pakatan Rakyat dan tokoh BN ini kalau terus kuat sampai PRU-14, Insya-Allah BN boleh tumbang.

“Bagi saya inilah gerakan gabungan yang strategik. Saya juga bersama jawatankuasa Selamatkan Malaysia berbaju merah menyambut ketibaan Muhyiddin.

“Kita dapat lihat ini semua satu fenomena luar biasa tetapi akhirnya biarlah menjurus kepada perubahan yang lebih baik kepada rakyat,” tambahnya lagi.

TAGS