Insiden N2H 2.0: Armada Kelantan dakwa Umno terlibat

Insiden N2H 2.0: Armada Kelantan dakwa Umno terlibat

Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) Kelantan mendakwa Umno adalah pihak yang terlibat dalam insiden yang melibatkan keganasan dan provokasi politik yang berlaku pada program Nothing 2 hide anjuran Armada Malaysia, semalam.

Ketua Armada Kelantan, Asran Alias berkata tiga individu tersebut difahamkan telah diupah oleh Umno untuk mengacau program Nothing 2 Hide setelah Presiden Umno Datuk Seri Najib gagal untuk hadir sebagaimana jemputan yang telah dibuat sebelum ini.

“Armada Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun ini.

“Perkembangan politik Malaysia semakin suram dan gelita di saat umat Islam menunaikan ibadah haji dan negara menyambut bulan kemerdekaan.

“Budaya politik gengster dan samseng terus disuburkan oleh Umno sebagai parti pemerintah.

“Benih-benih awal parti pemerintah ingin mengekalkan kuasa melalui cara sebegini mula disemai dan dirasai sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian serangan oleh pemuda Umno di PWTC pada Julai lalu adalah titik permulaan menunjukkan kepada masyarakat umum bahawasanya budaya politik gangster dan samseng ini akan digunakan demi mengekalkan kekuasan mereka.

“Disusuli pula dgn serangan Pemuda Umno dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Machang terhadap Ketua Armada PPBM Kelantan di dalam premis pentadbiran telah membuktikan Umno semakin terdesak dan sedar kekalahan semakin hampir dengan mereka,” katanya.

Baginya kejadian yang menimpa Tun Dr Mahathir Mohamad pada program di Shah Alam sangat jelas satu penghinaan kepada institusi pentadbiran terutamanya pihak PDRM.

“Kekecohan yang berlaku adalah satu perancangan yang tersusun yang melibatkan lebih daripada tiga individu yang ditangkap memakai pakaian Armada.

“Penggunaan suar (flare) ketika kekecohan berlaku menunjukkan ianya sudah dirancang dan persediaan rapi telah dibuat untuk menggangu gugat program tersebut dan didalangi oleh pihak tertentu.

“Armada PPBM Kelantan menggesa pihak PDRM menyiasat sepenuhnya insiden tersebut dan mengenalpasti individu yang terlibat secara langsung atau pun tidak supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Dalam program Nothing to Hide 2.0 yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Shah Alam petang semalam terjadi gangguan sehingga memaksa ia ditamatkan segera.

Kejadian berlaku apabila salah seorang hadirin bertanyakan berkaitan isu Memali kepada Mahathir.

Sejurus selepas Mahathir menjawab pertanyaan tersebut terdengar pekikan yang tidak berpuas hati dengan jawapan Pengerusi Bersatu itu.

Lantaran itu terdapat dalam kalangan hadirin yang membaling kerusi,selipar, botol air mineral dan bom asap dilontarkan ke arah pentas.

Manakala seorang suspek ditahan di luar kawasan dewan ketika melarikan diri dan di kejar Armada dalam kejadian yang berlaku.

Orang ramai panik lalu berlari keluar dewan dan merempuh sesama sendiri apabila bom asap yang sama dicampakkan ke arah kerusi media.

 

TAGS