Insiden N2H 2.0: Langgar peraturan, cemar demokrasi

Insiden N2H 2.0: Langgar peraturan, cemar demokrasi

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan Mohamad Sabu membidas insiden berlaku dalam program Nothing 2 Hide 2.0 semalam, melanggar peraturan dan norma demokrasi.

“Insiden provokasi dan kekecohan petang semalam dalam program Nothing To Hide 2.0 yang menampilkan Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah suatu perkara yang perlu dikutuk kerana melanggar peraturan dan norma demokrasi negara.

“Himpunan dan program-program di Malaysia biasanya berlangsung secara aman dan tenteram.

“Jikapun ada pihak yang mahu berhentikan ceramah atau dialog, hendaklah datang dari pihak berkuasa, bukan orang awam biasa.

“Lebih membimbangkan, jika peristiwa itu dirancang oleh pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan kekecohan dan akhirnya menggagalkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang,” ujarnya dalam kenyataan.

Mohamad yang juga Presiden Parti  Amanah Negara (AMANAH)  berkata, berikutan Barisan Nasional (BN) dakwanya berada pada situasi cemas, di atas sambutan rakyat terhadap Pakatan Harapan dan juga sokongan rakyat kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad yang membongkar segala skandal dan penyelewengan yang berlaku di Malaysia.

“Oleh itu, kita meminta pihak keselamatan mengambil tindakan segera supaya rakyat kembali yakin kepada sistem demokrasi sekaligus bebas membuat pilihan kepada kerajaan yang mereka kehendaki memerintah selepas PRU14 nanti,” ujarnya.

Terkini dilaporkan tiga remaja telah ditahan di Ibupejabat Polis Shah Alam bagi membantu siasatan terhadap insiden baling kerusi, botol minuman, kasut dan suar ke arah pentas di mana Dr Mahathir sedang menjawab soalan hadirin.

Ketua Armada dalam kenyataan hari ini turut mempersoalkan kebarangkalian ada usaha pihak tertentu mengunakan remaja bawah umur yang bukan ahli Bersatu untuk membuat provokasi dalam program yang dianjurkan oleh Armada Bersatu itu.

TAGS