Insiden utama jenayah dan keselamatan pada 2016

Insiden utama jenayah dan keselamatan pada 2016

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kes pembunuhan ngeri, pedofilia, bot karam, nahas helikopter, culik dan tanah runtuh menjadi tajuk utama kes jenayah dan bencana alam di negara ini sepanjang 2016.

Berikut adalah antara insiden utama pada tahun ini:

* 26 Januari: Seramai 13 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia mati lemas setelah bot pancung mereka karam dipukul ombak di perairan Tanjung Kelisa, Bandar Penawar dekat Kota Tinggi, Johor.

* 1 April: Empat rakyat Malaysia diculik oleh lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, Sabah.

* 5 Mei: Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban apabila helikopter jenis Eurocopter AS350 yang dinaiki terhempas di Batang Lupar, Sarawak.

Turut terkorban suami Noriah, Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.

* 6 Jun: Jurufoto bebas warga British, Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London kerana kesalahan pencabulan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir satu dekad.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Ong Chin Lan berkata polis sedang mengambil langkah untuk mengenal pasti mangsa Huckle.

* 21 Jun: Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong maut ditembak di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket, Jalan Miri-Bintulu di Miri, Sarawak.

* 28 Jun: Sekurang-kurangnya lapan cedera, seorang daripadanya parah, dalam insiden letupan berpunca daripada bom tangan dekat sebuah premis hiburan di IOI Boulevard, Puchong.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudian mengesahkan bahawa kejadian letupan bom itu merupakan serangan pertama kumpulan militan Daesh di Malaysia.

* 13 Julai: Empat sekeluarga mati ditembak, dipercayai oleh anggota keluarga sendiri menggunakan senjata tidak berlesen, di sebuah kilang pemprosesan ayam di kawasan perindustrian Batu Maung, Pulau Pinang.

* 24 Julai: Tujuh warga Indonesia lemas manakala 34 yang lain terselamat dalam kejadian bot karam di Pantai Batu Layar, Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor.

* 27 Julai: Seorang lelaki berusia 43 tahun maut ditembak di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur ketika memandu kereta jenis Honda Accord.

* 13 September: Enam maut, dua cedera parah manakala seorang cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7, Jalan Gemas-Tampin, berhampiran simpang masuk Felda Pasir Besar, Negeri Sembilan.

* 4 Oktober: Seramai 14 anggota tentera cedera dan dikejarkan ke Hospital Tawau selepas sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balung, Sabah.

* 16 Oktober: Tiga remaja maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 78.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, berhampiran Plaza Tol Karak, Pahang.

* 25 Oktober: Enam pesakit maut dalam kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor yang turut mencederakan seorang lagi pesakit dan tiga kakitangan hospital itu.

* 25 Oktober: Seorang lelaki maut dalam kejadian letupan dipercayai berpunca daripada tangki gas asli untuk kenderaan (NGV) di sebuah stesen minyak di Taman Mount Austin, Johor Bahru, Johor.

* 19 November: Tiga beranak antara lima yang maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 77 Jalan Johor Bahru-Mersing di Kota Tinggi, Johor.

* 20 November: Seramai 20 pemimpin dan aktivis ditahan berhubung perhimpunan Bersih 5 dan Gerakan Baju Merah yang berlangsung di ibu kota pada 19 Nov.

* 22 November: Tiga orang termasuk dua kanak-kanak maut manakala empat yang lain cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 3.5, Jalan Ipoh-Lumut di selekoh Puncak Jelapang Maju, Perak.

* 20 November: Dua pendaki Malaysia dilaporkan hilang di Gunung Damarvand, Iran. Pada 28 Nov, satu mayat ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mangsa dikenal pasti sebagai Syed Redzuan Syed Salim Shatri.

* 23 Nov: Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor maut digilis sebuah treler dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Setia Alam menghala Setia Alam, Selangor.

* 26 November: Seorang penunggang motosikal cedera manakala sebuah gerai dan 10 kenderaan musnah dalam kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah, Selangor.

* 30 November: Seorang pekerja kontrak warga Vietnam maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian runtuhan jejambat pejalan kaki berhampiran Apartmen Abdullah Hukum di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

* 1 Disember: Tiga maut, empat cedera dalam kejadian tembak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang.

* 11 Disember: Percutian 10 anggota keluarga menjadi episod ngeri apabila enam daripada mereka termasuk tiga kanak-kanak maut setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabas di Kilometer 288.6 di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman, Terengganu.

TAGS