Lindungi institusi mufti dari dipertikai masyarakat, saran Mahmood Zuhdi

Lindungi institusi mufti dari dipertikai masyarakat, saran Mahmood Zuhdi

Sudah tiba masanya institusi mufti perlu dilindungi daripada terdedah dengan isu-isu yang menjadi pertikaian masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini, kata Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritius Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Beliau berkata, kenyataan Mufti Pahang sebelum ini berkaitan tuduhan ‘kafir harbi’ ke atas pemimpin politik bukan Islam dan penyokong ahli parti itu adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku dan menjadi perdebatan ramai pihak di media massa.

“Dalam setiap negeri hanya Sultan dan Mufti diletakkan pada kedudukan yang sangat dihormati dalam masyarakat Islam.

“Jika kedudukan itu tidak dilindungi dan dijaga dua institusi itu akan dipertikai oleh masyarakat,” ujarnya dalam wawancara dengan Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman pada 23 Jun lalu dipetik berkata, haram dan berdosa besar bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP.

Sambung Mahmood Zuhdi lagi, apabila kenyataan seorang mufti menjadi bahan perdebatan banyak pihak, ia secara tidak langsung meletakkan institusi mufti itu bukan lagi ditempat yang harus dihormati.

“Yang jadi mangsa bukan mufti tetapi institusi mufti itu sendiri. Jika mufti asyik bagi pandangan peribadi fungsi mufti yang sebenar itu tidak kelihatan lagi.

“Saya tengok akhir-akhir ini mufti terbawa dengan dasar akhbar yang ada. Apabila ada cabaran untuk berdebat dan laporan polis dibuat terhadap kenyataan dikeluarkan mufti ia telah meletakan kedudukan institusi itu ditahap yang rendah,” ujarnya.

Beliau berkata, setiap isu yang timbul membabitkan umat islam dikalangan mufti amat perlu bersatu untuk menyatakan pendirian melalui insitusi rasmi seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.

Ujarnya lagi ia bukan bersifat kenyataan peribadi yang boleh mencemar insititusi yang didokong oleh mufti-mufti lain di negara ini.

” Rakyat negara ini melihat Islam itu adalah agama perbalahan.

“Seorang mufti kena faham mereka mufti yang mewakili masyarakat.  Mereka jika nak bercakap kena dalam ruang lingkup kebenaran oleh jawatankuasa majlis fatwa negeri atau pusat.

“Masyarakat akan keliru sama ada itu pandangan peribadi atau fatwa rasmi,” ujarnya.

MDN adalah sebuah institusi yang ditubuhkan sejak setahun atara lain agendanya adalah untuk menyatukan parti-parti politik Melayu dan Islam di negara ini untuk membentuk penyatuan ummah yang kukuh.

Justeru katanya untuk membendung perkara sebegitu berulang  MDN akan mengadakan satu Himpunan Agamawan Kebangsaan di negara ini.

 ‘Peranan Ulama dalam Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara’

Himpunan Agamawan Kebangsaan yang bertajuk ‘Peranan Ulama dalam Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara’ akan diadakan pada 20 Julai ini di Hotel Putrajaya, Bangi bermula dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang.

Himpunan ini untuk mengumpulkan golongan agamawan sama ada daripada institusi mufti, persatuan, pertubuhan, guru agama, cendiakawan Islam untuk melihat sejauh mana mereka cukup responsif dalam isu-isu yang berlaku dalam negara.

Ini bertujuan untuk meletakkan golongan agamawan ini dalam satu landasan yang kukuh dan lebih terarah yang tidak bersifat berkelompok atau tersendiri untuk menyatakan pendirian terhadap isu berbangkit mengenai umat Islam di negara ini.

Dijangka seramai 300 agamawan di seluruh negara akan menghadiri  himpunan ini adalah kesinambungan daripada Multaqa Perpaduan Ummah yang diadakan pada 18 Mei lalu anjuran MDN.

Mahmood Zuhdi berkata, walaupun peranan ulama dilihat berpengaruh tetapi hala tuju mereka masih lagi tidak jelas dan terarah.

“Sebenarnya agamawan sangat berpengaruh tetapi penumpuan mereka tidak jelas.

“Ini kerana ada dikalangan mereka ini menjadi orang masjid, guru agama, pemimpin masyarakat, berjawatan dalam parti-parti.

“Sepatutnya walau di mana-mana pun mereka berada perlu ada satu kesatuan berfikir di kalangan mereka untuk menangani isu umat Islam.

“Sama ada mereka duduk dalam parti atau NGO mereka semua akan fokus kepada isu perpaduan ummah,” ujarnya.

Di maklumkan dalam wacana itu nanti terdapat lima usul akan diutarakan kepada peserta yang hadir untuk dibincangkan bersama.

Perkembangan terkini hasil daripada Multaqa Perpaduan Ummah

Kumpulan memperkukuhkan Institusi Raja yang di Pengerusikan oleh  Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Nordin dan ahli jawatankuasanya telah mengadap Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

Mahmood Zuhdi juga menjelaskan, terkini MDN telah melantik Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU) dan telahpun mengerakkan usul-usul yang dicadangkan dan menjadi resolusi pada Multaqa Perpaduan Ummah diadakan Mei lalu.

“Hasil daripada usul dahulu kita telah tubuhkan kumpulan kerja dan telah mengadakan persidangan mereka dan membentuk kumpulan kerja masing-masing.

“Kita telah pun mengadap Raja membawa isu memperkukuhkan institusi raja-raja Melayu. Kita mendapat respon yang baik kita sudahpun berkunjung ke istana Perak bertemu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Sultan Azlan baru-baru ini. Selepas ini kita akan mengatur lagi beberapa pertemuan dengan Raja-raja di setiap negeri.

“Selain itu kita juga  telah menubuhkan jawatankuasa untuk mengadakan perbincangan dikalangan pemimpin politik dan sudah berbincang beberapa kali untuk tentukan strategi melalui  kumpulan kerja yang ditubuhkan di bawah PPPU.

“Di bawah kumpulan kerja itu dianggotai pula 15 orang pakar dipilih dikalangan yang terkecuali dan yang terbabittidak terbabit dalam politik. Ini kerana kita mahu keanggotaan dalam kumpulan kerja ini bersikap berkecuali dan tidak mempunyai hala tuju politik peribadi dan parti,” ujarnya.

Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU) di bawah MDN

Pengerusi: Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman
Tim.Pengerusi: Tan Sri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad

Enam Kumpulan Kerja dipertanggungjawabkan yang dianggotai antara 10 -15 pakar dan berpengalaman dalam bidang tersebut.

1) Memperkukuhkan Institusi Raja
    Pengerusi Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Nordin
2) Dailog antara Pemimpin dan parti politik
    Pengerusi Tan Sri Abu Zahar Ujang
3) Mobilasi Masyarakat Madani
    Pengerusi Prof Emeritius Datuk Dr Sulaiman Mohd Yassin
4) Penyusuran Akar Umbi
    Pengerusi Datuk Nakhaie Ahmad
5) Media dan Publisiti
    Pengerusi Datuk Dr Ismail Ibrahim
6) Belia dan Ilmuan Muda
    Pengerusi Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

 

TAGS