Iran dakwa Zionist, CIA dan Arab Saudi dalangi kekacauan

Iran dakwa Zionist, CIA dan Arab Saudi dalangi kekacauan

Pendakwa Raya Iran, Mohammad Jafar Montazeri mendakwa Zionist, CIA dan Arab Saudi merupakan dalang di belakang rusuhan yang berlaku di beberapa bandar di negara itu baru-baru ini.

Perancangan mengenai kejadian itu telah disediakan dan dirancang sekitar empat tahun dahulu dengan kerjasama rapat negara-negara terlibat, kata Montazeri mengikut laporan agensi berita Iran, IRNA.

Mohammad Jafar Montazeri

Tambah beliau, tokoh utama dalam perancangan tersebut ialah seorang warga Amerika Syarikat bernama Michael Andrea, bekas anggota CIA yang ditugaskan menentang terorisme dan beliaulah yang menubuhkan kumpulan untuk mewujudkan kekacauan di Republik Islam itu.

Jumaat 5 Januari lalu, rakyat Iran mengadakan perarakan besar-besaran di bebarapa bandar di negara itu mengecam protes ganas dan perancangan musuh yang menyalahgunakan demonstrasi aman untuk merosakkan Republik Islam itu.

Bandar-bandar terlibat ialah Tehran, Tabriz, Sari dan Kerman.

Para demonstrator melaungkan slogan mengecam Amerika Syarikat (AS) dan Israel dalam perarakan tersebut.

Beberapa demonstrasi yang bermula di Mashad pada 28 Disember lalu telah merebak ke bebarapa bandar lain dengan para demonstrator menyuarakan aduan mengenai kenaikan harga barang, pengangguran dan rasuah.

Bagaimanapun demonstrasi berkenaan bertukar menjadi ganas di beberapa buah bandar, dengan para perusuh menyasarkan serangan kepada balai-balai polis dan tempat-tempat beribadah.

Menurut laporan rasmi negara itu, lebih 20 orang terbunuh sejak keganasan tersebut meletus.

Presiden AS, Donald Trump menyalahgunakan situasi tersebut dengan menggalakkan lebih banyak protes sedemikian di Iran. Beberapa orang pegawai AS yang lain termasuk Naib Presiden Mike Pence dan Duta AS ke PBB Nikki Haley turut mengeluarkan kenyataan menggalakkan kekacauan.

Pemimpin Solat Jumaat Iran, Ahmad Khatami sewaktu menyampaikan khutbahnya berkata, suara Trump dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu adalah “suara asing” dan “bukannya suara rakyat Iran”.

Beliau berkata, suara rakyat perlu didengar dan tidak sepatutnya hilang dalam kekacauan.

Dalam satu temu bual dengan TV Lubnan pada Isnin selepas demonstrasi tersebut, pemimpin Majlis Tertinggi Keselamatan Negara Iran, Ali Shamkhani berkata, kekacauan yang berlaku di Iran diapi-apikan oleh “perang proksi” terhadap Iran oleh beberapa negara termasuk Arab Saudi.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pula menuduh AS dan Israel cuba campur tangan dalam hal ehwal Iran.

“Kita tidak dapat terima bahawa sesetengah negara – paling ketara AS dan Israel – campur tangan dalam ehwal dalaman Iran dan juga Pakistan,” kata beliau seperti dilaporkan Daily Mail sebelum beliau berangkat ke Perancis.

Di Malaysia, Presiden Parti AMANAH Nasional, Haji Mohamad Sabu turut mengecam campur tangan AS dan Israel berhubung demonstrasi tersebut.

“Mengapa Amerika dan Israel begitu berminat untuk menyokong demonstrasi itu sedangkan di negara lain pemerintah melakukan kekejaman namun mereka tidak mempedulikan.

“Janganlah kerana berkuasa, mereka boleh berbuat apa sahaja untuk negara yang dianggap lawan mereka di Timur Tengah,” ujarnya.

6.0
OVERALL SCORE
: 6.0
Have no any user vote
CATEGORIES