Isa Samad masih kekal ahli lembaga pengarah hotel Felda di London

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Selain perbelanjaan misteri RM80 juta yang menjadi punca hotel milik Felda di London mengalami kerugian, Felda juga masih mengekalkan bekas pengerusinya, Tan Sri Isa Samad sebagai ahli lembaga pengarah FIC Grand Plaza Ltd, syarikat yang diwujudkan untuk menguruskan Grand Plaza Serviced Apartments.

Malah Isa dibayar elaun purata RM10,000 sebulan bagi jawatan tersebut seperti yang diterima oleh pegawai-pegawai kanan Felda yang menganggotai lembaga pengarah syarikat walaupun peranan mereka dalam operasi syarikat boleh dipersoalkan.

Mendedahkan perkara ini, naib presiden PKR Rafizi Ramli berkata, maklumat yang diperolehi daripada laporan kewangan FIC Grand Plaza Ltd yang diaudit dari 2014 hingga 2016 itu membolehkan beliau menjalankan analisa untuk mengenal pasti sama ada kerugian seperti yang ditunjukkan di dalam akaun Felda (melalui FIC UK Properties Sdn Bhd yang digabungkan di dalam penyata kewangan Felda) adalah berpunca dari perniagaan yang benar-benar merugikan, atau ada unsur-unsur penyelewengan atau amalan tata kelola yang lemah.

“Salah satu perbelanjaan sebegitu yang diisytiharkan di dalam penyata kewangan FIC Grand Plaza Ltd (atas kehendak undang-undang) ialah bayaran gaji kepada pengarah-pengarah. Semakan saya ke atas kesemua penyata kewangan diaudit FIC Grand Plaza Ltd dari penubuhan hingga sekarang menunjukkan kesemua ahli lembaga pengarahnya dilantik oleh Felda dan merupakan pegawai-pegawai kanan Felda.

“Peneroka Felda perlu tahu bahawa pimpinan kanan Felda ini dibayar secara purata sehingga RM10,000 sebulan untuk menjadi ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat yang operasinya hanya menyewakan apartment mewah di London,” ujar beliau.

Menurut Rafizi, gaji sehingga RM10,000 sebulan itu adalah tambahan kepada pelbagai gaji, elaun dan keistimewaan lain sedangkan mereka tidak memegang apa-apa peranan kritikal kepada operasi anak syarikat Felda di United Kingdom itu.

Beliau menambah, Isa dilantik sebagai ahli pengarah syarikat pada 28 Mei 2016 dan semakan dengan rekod syarikat di Companies House UK menunjukkan pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu masih kekal memegang jawatan itu.

Kajian Rafizi juga mendapati terdapat perbelanjaan yang tidak berkaitan dengan operasi Grand Plaza SA yang dikenakan oleh pihak ketiga (sama ada orang perseorangan, syarikat dari kumpulan Felda atau syarikat yang tidak ada kena mengena dengan Felda) kepada FIC Grand Plaza Ltd yang jumlahnya masing-masing diunjurkan sekitar RM25 juta (2014), RM29 juta (2015) dan RM28 juta (2016).

Perbelanjaan-perbelanjaan yang mencecah RM82 juta itu, katanya ditunjukkan sebagai kos pentadbiran (administrative expenses).

“Oleh kerana perbelanjaan seperti ini tidak memberi gambaran yang tepat mengenai keberuntungan (profitability) sebenar sesebuah operasi perniagaan, sebab itulah banyak laporan kewangan merujuk kepada EBITDA (earnings before interest, tax, depreciation and amortisation) yang mengasingkan perbelanjaan-perbelanjaan ‘pengurusan/pentadbiran’ seperti ini,” ujarnya.

Rafizi percaya banyak perkara yang mampu didedahkan termasuk butiran perbelanjaan berbentuk pengurusan dan pentadbiran yang dicaj ke syarikat tersebut sehingga mengakibatkan kerugian sedemikian rupa.

“Saya ada banyak lagi perkara-perkara yang akan menimbulkan banyak persoalan mengenai keborosan Felda melalui anak-anak syarikat luar negara seperti ini. Saya berharap Felda akan memberi penjelasan kerana pendedahan-pendedahan selepas ini akan memalukan Felda,” ujarnya.

Felda juga dilapor telah melantik ejen-ejen hartanah untuk mencari pembeli kepada hartanah mewah miliknya itu.

Grand Plaza Serviced Apartments, hartanah mewah milik Felda di London.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS