Isa Samad perlu bertanggungjawab atas kerugian Felda

Isa Samad perlu bertanggungjawab atas kerugian Felda

Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad perlu memikul tanggungjawab ke atas kerugian yang dihadapi dan bukan hanya mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat, kata Naib Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad perlu memikul tanggungjawab ke atas kerugian yang dihadapi dan bukan hanya mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat, kata Naib Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, prestasi Felda sejak Isa Samad menjawat jawatan itu amat tidak menyakinkan peneroka.

“Felda bukan sahaja berdepan dengan penyelewengan di bawah Tan Sri Isa, ia juga berdepan dengan pengurangan hasil akibat profil usia pokok sawit yang tua, kegagalan merancang penanaman semula yang berkesan dan kelemahan pemantauan terhadap prestasi anak-anak syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, walaupun Isa berkata yang dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara siri dua sebelum ini telah pun diambil tindakan pihaknya, namun hakikatnya para peneroka tidak mengetahui bilakah Felda Global Ventures (FGV) akan kembali membawa keuntungan kepada mereka.

Sejak pelancaran FGV pada 2012 di Bursa Malaysia pada harga RM4.45 sesaham, nilai saham FGV terus merosot ke tahap RM1.68 sesaham pada Jumaat lalu.

“Hakikatnya, saham FGV boleh dikategorikan sebagai saham yang berprestasi terburuk di dalam sektor pertanian,” kata Tuan Ibrahim.

“Masalah FGV tidak lain tidak bukan berpunca daripada kelemahan pengurusan dan juga harga minyak sawit yang rendah,” ujarnya.

Bagi peneroka Felda biasa, kata beliau, amat susah untuk mereka fahami bagaimana boleh berlakunya penyelewengan di Felda Iffco Gida Sanayi, sebuah anak syarikat yang dimiliki 50% saham oleh FGV di Turki, yang mengalami kerugian saham luar biasa sebanyak RM57 juta.

Menurut beliau, penyelewengan tersebut menyebabkan kerugian suku ketiga FGV yang berakhir 30 September melebar daripada RM33.9 juta tahun yang lalu ke RM94.86 juta tahun ini.

“Dengan suasana ekonomi yang semakin mencabar, FGV berdepan masa mencabar pada 2017. Nasib peneroka Felda semakin malap jika tiada sebarang penambahbaikan yang konkrit dilakukan untuk menukar nasib FGV,” katanya.

TAGS