ISA: Wajarkah salahkan Mahathir seorang?

ISA: Wajarkah salahkan Mahathir seorang?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Baru baru ini Buletin Utama TV3 menyiarkan berita bahawa Senator Datuk S. Nallakarupan ingin menyaman Tun Mahathir kerana menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( “ISA” ) suatu masa dahulu.

Dalam sidang akhbarnya, beliau nampaknya menyalahkan Tun Mahathir seorang sahaja berhubung isu ISA.

Hakikatnya hujah Nallakaruppan itu dikongsi oleh ramai orang khususnya pemimpin Umno.

Saya tidak kata Tun Mahathir langsung tidak bersalah dalam isu ISA ini. Namun, bagi saya, tidak adil jika kita hanya salahkan Tun sorang sorang.

Untuk rekod bukan Tun Mahathir yang memperkenalkan dan menggubal ISA. ISA digubal oleh bapa Najib dan pemimpin Umno iaitu Tun Abdul Razak. Maka Umno tidak boleh lepas tangan dari ISA.

Ya, Tun Mahathir meneruskan legasi ISA. Namun kita harus ingat Mahathir dikelilingi juga oleh menteri menteri kabinetnya yang mana setengah dari menteri yang ada sekarang juga pernah menjadi anggota kabinet Tun Mahathir seperti Najib,Nazri Aziz, Noh Omar dan Hishamuddin Hussein.

Adakah mereka pernah membantah ISA atau paling kurang mengkritik Tun Mahathir ketika mana beliau guna ( baca salah guna) ISA ke atas musuh politiknya?

Bukankah mengikut prinsip kabinet jika ada mana mana keputusan Mahathir yang tidak dipersetujui oleh menteri menteri Umno itu mereka wajib letak jawatan atas prinsip tanggungjawab kolektif ( collective responsibility). Hakikatnya menteri menteri Umno itu memang suka dengan ISA dan tidak kisah dengan kezaliman ISA.

Selanjutnya meskipun Najib batalkan ISA namun atas desakan Umno beliau masih hidupkan roh ISA melalui penggubalan akta akta yang menyerupai ISA seperti Akta Pencegahan Jenayah ( POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan ( POTA). Malahan Najib juga perkenalkan akta akta yang lebih teruk dari ISA seperti Akta SOSMA dan Akta Majlis Keselamatan Negara ( MKN).

Meskipun berdasarkan SOSMA orang yang ditahan masih boleh dibicarakan di mahkamah namun Akta tersebut mengikat tangan hakim ( dengan hapuskan budibicara para hakim) dan amat-amat pro pendakwaraya -seratus peratus. Ia juga boleh disalah guna seperti ISA.

Lihatlah bagaimana bekas ahli Umno sendiri, Dato Khairudin Abu Hassan dan peguamnya, Mathias Chang juga ditahan di bawah SOSMA kerana buat laporan polis isu 1MDB di luar negara. Malahan SOSMA juga menjustifikasi penyiksaan ( torture ) tahanan oleh pihak polis.

Akta MKN pula beri kuasa yang amat luas dan drakonian kepada Perdana Menteri dan merampas kuasa Agong di siang siang hari.

Semasa di Parlimen, saya tidak lihat dan dengar mana mana Ahli Parlimen Umno/BN yang menentang akta akta zalim itu malahan ada dari mereka yang menyokong bermati-matian. Untuk Umno cukuplah berpura pura. Meluatlah!

*Penulis Mohamed Hanipa Maidin adalah Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah dan Ahli Parlimen Sepang.

CATEGORIES
TAGS