Israel bertindak pengecut, OIC gagal lindungi wanita

Israel bertindak pengecut, OIC gagal lindungi wanita

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penahanan Kapal Zaytouna-Oliva yang disertai 13 aktivis wanita antarabangsa oleh pihak berkuasa Israel menyerlahkan kegagalan pertubuhan antarabangsa seperti PBB dan OIC dalam membela hak rakyat Palestin dan sukarelawan yang ditahan regim haram Israel.

Walaupun 13 sukarelawan termasuk seorang rakyat Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hassan sudah dibebaskan oleh regim Israel, namun tindakan menahan mereka perlu dikecam masyarakat antarabangsa, tegas ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

“Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) sewajarnya bertindak tuntas dengan kejadian ini tanpa menuggu maklum balas dari  Isreal atau sekutunya. Sepatutnya PBB menghantar pasukan pengawal untuk melindungi mereka.

“Tindakan PBB yang seolah-olah  takut kepada bayang-bayang Israel amat memalukan institusi bertaraf dunia ini. Lebih memalukan lagi ialah PBB gagal membela wanita,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mahfuz juga kesal kerana Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang sepatutnya menjadi jurubicara negara-negara Islam semakin bacul dan tidak berani mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan regim Israel itu.

Lebih memalukan, tambah beliau, majoriti anggota misi Zaytouna ialah wanita-wanita bukan Islam yang bersimpati terhadap nasib umat Islam di Gaza dan menentang keras pendudukan Isreal di bumi Gaza.

Malangnya OIC, jelas Mahfuz hanya mampu mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap isu penahanan ini tanpa sebarang kenyataan dan tindakan.

“Saya mendesak PBB dan OIC melalui negara-negara anggota untuk segera memainkan peranan sebenar dengan memastikan semua tahanan Zaytouna ini dibebaskan segera dan dibenarkan meneruskan agenda kemanusiaan mereka,” ujarnya.

Mahfuz juga menyarankan agar rundingan antara Isreal dan Hamas segera diadakan dan diteruskan bagi menjadikan wilayah Gaza bebas daripada sebarang gangguan dan sekatan.

TAGS