Isteri mendiang Bala hanya komen hal kematian suaminya bukan kes Altantuya

Isteri mendiang Bala hanya komen hal kematian suaminya bukan kes Altantuya

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Isteri mendiang Balasubramaniam – penyiasat persendiri yang membuat pengakuan berkanun berhubung penglibatan individu ternama dalam kes pembunuhan model asal Mongolia, Altantuya Shaaribuu – hanya menafikan penglibatan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di atas kematian suaminya dan tidak merujuk kepada kes pembunuhan model tersebut.

Malah Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah yang disebut namanya dalam kenyataan media balu Balasubramaniam, Santamil Selvi mengakui tidak tahu menahu tentang dakwaan Selvi itu.

Selvi bagaimanapun tidak menyebut nama-nama individu dalam sidang media anjuran aktivis politik Ramesh Rao itu.

“Sepanjang pengetahuan saya Bala meninggal dunia kerana serangan jantung. Rosmah tiada kaitan dengannya. Apa yang dunia prihatin adalah dakwaan mengatakan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib dan (isterinya) Rosmah terlibat dalam pembunuhan Altantuya, bukannya atas kematian Bala,” tegas beliau.

Menurut Sivarasa, sesetengah media tempatan telah memutarbelitkan pengakuan Selvi itu dan mengaitkannya dengan pengakuan berkanun Bala berhubung pembunuhan Altantuya.

Bagaimanapun dalam rakaman video 15 minit yang diterbitkan Star TV.com itu, ujar Sivarasa gambaran sebenar apa yang diucapkan Selvi boleh didapati.

“Tolong tonton untuk melihat sendiri kenyataan sebenar Selvi. Memang jelas beliau tidak berkata sedemikian (seperti dilapor sesetengah media),” ujarnya.

Mengulas dakwaan Selvi dalam kenyataan media kelmarin bahawa beliau, Ahli Parlimen Kapar G Manivannan dan peguam Americk Sidhu membuat panggilan telefon memintanya bersetuju diwawancara media Australia dengan janji bantuan kewangan, Sivarasa menafikan dakwaan itu.

Menurut Sivarasa, beliau tidak menelefon Selvi sejak berbulan lamanya dan hanya berhubung dengan mesej pesanan ringkas (SMS).

“Saya tidak menelefon beliau baru-baru ini untuk membuat tawaran wawancara video dengan sesiapa pun bagi mendapatkan imbuhan kewangan. Tidak juga YB Manivannan.

“Saya percaya Americk Sidhu memberitahu beliau (Selvi) minggu ini bahawa ada sekumpulan rakyat Australia dari ABC mahu mewawancara dan beliau bersetuju,” jelasnya.

Menjawab dakwaan Selvi bahawa tiada sebarang bantuan kewangan diberikan PKR sejak suami beliau meninggal dunia, Sivarasa hairan mengapa balu penyiasat persendirian itu membuat dakwaan tudak berasas itu.

Beliau bagaimanapun yakin Selvi hanya membacakan kenyataan media yang dikarang pihak lain.

Menurut Sivarasa, pihaknya telah memberikan bantuan kewangan kepada Selvi sejak kematian Balasubramaniam dengan menjelaskan bil hospital dan membiayai pengkebumiannya.

“Itu perkara paling ringan kami lakukan untuk manusia seberani mendiang yang merasakan dirinya perlu berkata benar tentang pembunuhan Altantuya,” ujar Sivarasa.

Beliau menambah, menyedari Selvi memerlukan bantuan, sejak 2013 hingga sekarang bantuan kewangan telah diberikan untuk keluarga mendiang Bala itu.

“Selvi tahu sepenuhnya tentang jumlah, bila dan bagaimana bantuan itu diberikan,” kata Sivarasa.

Malah menurutnya, Americk Sidhu dan beberapa individu yang prihatin telah menghulurkan bantuan kewangan untuk keluarga tersebut termasuk bagi pendidikan anak-anak mendiang Bala.

TAGS