Isu air Selangor: Pemuda Amanah Kuala Langat gesa kerajaan segera tangani

Isu air Selangor: Pemuda Amanah Kuala Langat gesa kerajaan segera tangani

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Kuala Langat menggesa kerajaan negeri Selangor menangani segera gangguan bekalan air yang dikatakan berpunca akibat kes pencemaran.

Ketuanya, Mohd Syazli Mahmud berkata, pihaknya memandang serius masalah itu yang kerap berlaku terutama di daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

“Gangguan yang berlaku hampir setiap minggu ini telah menjejaskan kehidupan seharian rakyat dan mengakibatkan keresahan yang berpanjangan.

“Kes pencemaran bau yang telah berulang kali melanda Loji Rawatan Air Sungai Semenyih ialah suatu musibah besar buat rakyat negeri Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri melakukan penguatkuasaan secara berterusan terhadap sebarang aktiviti perindustrian di sepanjang pesisir sungai terutama berhampiran sumber air bersih.

Mohd Syazli MahmudTindakan tegas, jelasnya, perlu diambil ke atas pengusaha premis perindustrian yang mengakibatkan pencemaran sumber air terbabit.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga harus menggerakkan pelan perbekalan air sokongan secara tersusun, pantas dan menyeluruh kepada setiap kawasan yang terjejas agar gangguan bekalan air tidak menyebabkan kesulitan yang melampau terhadap urusan seharian pengguna.

Semalam, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih ditutup buat kali ketujuh dalam tahun ini akibat pencemaran bau pada pukul 7.30 pagi sehingga kawasan sekitar Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sementara.

Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong penutupan LRA tersebut berpunca dari kawasan industri di Nilai, Negeri Sembilan.

Pencemaran bau tersebut, jelasnya, dikesan dengan kelihatan banyak bangkai ikan bermula dari hulu air di Nilai seterusnya mengalir ke Sungai Buah, Dengkil dan Muka Sauk Semenyih.

Sebelum ini, portal berita The Sun Daily melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin mendakwa siasatan awal menunjukkan pencemaran air di Sungai Semenyih disabotaj UMNO dan mengaitkannya dengan pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir.

Ekoran itu, Umno Selangor mencabar Azmin membuat laporan polis bagi membuktikan dakwaan pencemaran air di Sungai Semenyih adalah angkara sabotaj Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata pihaknya tidak terkejut dengan tuduhan tidak berasas itu kerana mendakwa budaya ‘bangau oh bangau’ itu sudah menjadi amalan pembangkang sejak sekian lama.

TAGS