Isu ambil alih Splash: Kos RM4.2 bilion belum muktamad

Isu ambil alih Splash: Kos RM4.2 bilion belum muktamad

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim disaran berhenti “menyerang” dan menyebarkan berita palsu terhadap kerajaan negeri dalam isu pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata kerajaan negeri masih belum memuktamadkan kos sebenar pengambilalihan Splash dan jumlah RM4.28 bilion yang dinyatakan Khalid hanya dakyah.

“Saya tidak jelas dari mana angka RM4.28 bilion kos pengambilalihan Splash itu diperoleh bekas MB berkenaan seperti dilaporkan organisasi media dikawal Putrajaya itu.

“Sedangkan kos sebenar masih lagi dinilai. Perlu ditegaskan, andaian peribadinya tidak terpakai dalam kira-kira ini,” katanya dalam satu kenyataan, dipetik FMT hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata pengambilalihan Splash ditangguhkan selama 6 bulan atas permintaan kerajaan persekutuan.

Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui surat bertarikh 17 Oktober 2016 bersetuju supaya penilai bebas antarabangsa dilantik dalam menentukan harga dibayar kepada Splash.

Shuhaimi berkata Khalid juga disarankan menjalankan tanggungjawabnya sebagai Adun Pelabuhan Klang lebih bersungguh-sungguh dengan hadir ke sidang Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Tindakan mereka (khalid dan bekas setiausaha politiknya) menimbulkan syak wasangka, mungkin wujud agenda tertentu dalam pentadbiran terdahulu melibatkan rundingan pengambilalihan Splash.

“Yang diketahui memang langsung tidak pernah dibawa dan dirujuk ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, apatah lagi DUN Selangor. Masuklah ke Dewan semasa persidangan dan bukannya berkokok di luar,” katanya.

Semalam, Azmin mendedahkan bukti diperolehnya daripada bekas setiausaha kerajaan negeri ketika pemerintahan Khalid yang menunjukkan Khalid menawarkan ekuiti sebanyak RM2.975 bilion kepada Splash.

Azmin berkata Khalid yang memulakan tawaran RM2.9 bilion kepada SPLASH untuk mengambil alih aset syarikat konsesi air itu.
Khalid terus menafikan dakwaan Azmin dan memaklumkan sudah menghubungi pejabat Dun Selangor untuk menetapkan tarikh bagi menjawab tuduhan dilemparkan Azmin terhadapnya.

Bagaimanapun, permohonannya ditolak Speaker Dun Hannah Yeo.

TAGS