Isu bai’ah: Ulama Pas berdendam, perguna agama

Isu bai’ah: Ulama Pas berdendam, perguna agama

Dakwaan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh bahawa pemimpin Pas tidak selamat jika melanggar bai’ah dan meninggalkan parti itu menyerlahkan sikap ulama Pas yang berdendam.

Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, sikap tersebut juga dilihat mempergunakan Islam untuk kepentingan politik Pas.

“Sepatutnya politik digunakan untuk kepentingan agama tetapi dalam Pas, ia berlaku sebaliknya.

“Ulasan beliau (Nik Muhammad Zawawi) itu lebih kepada dendam kerana sebelum ini pun sudah banyak individu yang ditarik gelaran oleh istana,” dipetik dari akhbar Sinar Harian semalam.

Nik Muhammad pada 8 Februari lalu menganggap penarikan gelaran kepada Naib Presiden AMANAH, Husam Musa dan Pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah adalah balasan Allah kerana melanggar sumpah bai’ah.

“Tak akan ada yang selamat kerana melanggar bai’ah. Sehari dua ini, kita lihat ada individu yang dilucutkan gelaran dan pangkat mereka.

“Allah telah menyusun laknat kepada mereka yang langgar bai’ah. Bukan kita yang jatuhkan hukuman kepada mereka tetapi janji Allah itu pasti,” dakwa Nik Muhammad.

Untuk rekod, Husam dan Wan Abd Rahim menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat pada petang 6 Februari lalu yang memaklumkan Sultan Muhammad V menarik  balik darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi berkata, mana-mana individu termasuk ulamak sekali pun adalah salah dari sudut ajaran Islam mentafsirkan musibah yang berlaku musibah terhadap seseorang sebagai hukuman daripada Allah.

“Ia sekadar untuk menakutkan wakil rakyat yang berhasrat meninggalkan Pas,” tegas bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah (2009-2013) itu.

Beliau mengingatkan sebagai ulama adalah lebih baik untuk menyatakan setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah untuk diambil pengajaran.

“Oleh itu, kita sentiasa bersangka baik kepada Allah atas segala peristiwa yang ditentukan.

“Tidak payahlah beliau buat andaian terhadap mereka yang keluar Pas kononnya berasa bersalah atas perbuatan mereka,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kundor berkenaan juga berkata, sebagai pemimpin yang bertanggung jawab, pimpinan yang keluar daripada Pas telah melakukan pertimbangan sewajarnya sebelum membuat keputusan.

8.3
OVERALL SCORE
: 9.0
7 user votes x 8.1
CATEGORIES
TAGS