Isu balak Kelantan: PSM seru Amar-Husam henti saling tuding-menuding

Isu balak Kelantan: PSM seru Amar-Husam henti saling tuding-menuding

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kelantan merayu supaya episod tuding menuding antara kem Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan pemimpin Amanah, Datuk Husam Musa dihentikan ekoran isu pembalakan di negeri itu.

Pengerusinya, Khairul Nizam Abd Ghani berkata, masalah meruncing kemusnahan alam akibat pembalakan sebenarnya sudah berlaku berpuluh tahun lalu.

“Ini bukan berlaku dua, tiga tahun kebelakangan ini. Ianya sudah menjadi barah puluh tahun.

“Masalah ini bukan di atas paksi pergaduhan politik kem Husam – Nik Amar atau Amanah – Pas atau PSM – parti lain. Ini adalah masalah fahaman dan pengurusan ekonomi,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penyelesaian kepada punca isu pembalakan di Hutan Simpan Balah, Gua Musang itu perlu dicari dengan mengingatkan supaya rakyat tidak diheret kepada pemahaman yang salah terhadap satu-satu masalah.

“Kita wajib cari punca masalah, bukan wajib cari hero masalah. Parti yang sudah memerintah sesebuah negeri selama 20 tahun (Pas) tetapi masih menggunakan pembalakan sebagai sektor ekonomi utamanya, adalah parti yang gagal dalam ekonomi.

“Tanpa tinggalkan perjuangan menuntut royalti petroleum, PSM menyeru mana-mana pihak tidak menggunakan alasan royalti terhadap kegagalan pengurusan ekonomi negeri.

“Ianya membawa kepada pendidikan awam yang salah. Rakyat negeri tidak akan dipacu ke arah pembentukan minda kelas pertama.

“Jika kesedaran kelas rakyat tinggi, PSM (juga parti lain) pun akan takut untuk melakukan kesalahan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Khairul menegaskan kegagalan ekonomi sesebuah negeri akan menyebabkan banyak perkara berkaitan kedaulatan wilayah tergadai.

“Selama 20 tahun tiada pengetahuan ideologi ekonomi, gagal menjana ekonomi-ekonomi baru, maka akan kekal ekonomi berasaskan kemusnahan alam. Yang tergadai adalah alam sekitar milik negeri.

“Selama 20 tahun tiada pengetahuan ideologi ekonomi, gagal menjana ekonomi-ekonomi baru, maka gagal mengeluarkan belanja bagi pengurusan sampah yang efisyen.

“Akhirnya kedaulatan PBT (pihak berkuasa tempatan) negeri tergadai melalui Akta 672 pengurusan sisa pepejal yang mempunyai hak terhadap cukai pintu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, ketiadaan pengetahuan ideologi ekonomi menyebabkan Menteri Besar dari Pas, pada 9 Mei 1975 telah menyerahkan laut Kelantan kepada persekutuan melalui Akta Petroliam 1974.

“PSM Kelantan merayu pihak kerajaan negeri mengadakan satu sidang meja bulat bersama, atau apa-apa seumpamanya.

“Ini bagi menggembleng idea dan tenaga, menyelesaikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan krisis ekonomi ini,” tambahnya lagi.

TAGS