Isu bauksit di Kuantan, hipokrasi penjawat jabatan, kata Dr Maszlee Malik

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Isu perlombongan bauksit di Kuantan yang menyebabkan pencemaran debu merah disifatkan ahli akademik, Dr Maszlee Malik sebagai tanda wujudnya hipokrasi di jabatan atau agensi kerajaan berkaitan.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, aktiviti tidak terkawal tersebut yang menjejaskan penduduk dan peniaga seolah-olah tidak diendahkan pihak bertanggungjawab.

“Kuantan, Merahmu tanda hancurnya keluhuran kemanusiaan, Tangismu diselubungi hipokrasi penjawat jabatan, Hibamu malangnya tiada siapa pedulikan, Semuanya buat yang mulia membuat keuntungan,” ujarnya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Menyifatkan pencemaran yang kritikal itu berpunca daripada sikap pihak yang mempunyai kuasa, beliau selanjutnya menulis keadaan tersebut sebagai, “kematian kejujuran, kepedulian, ketulusan dan juga erti sebenar keagamaan.”

Dalam perkembangan berkaitan, Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit menuntut kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang menggantung semula aktiviti industri mineral terbabit.

Pengerusi gabungan berkenaan, Fuziah Salleh juga mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2014 bagi negeri Pahang tidak menyentuh isu perlombongan haram bauksit dan pencemaran ke atas alam sekitar di Kuantan.

November lalu, 40 masyarakat setempat terutama di sekitar Bukit Goh, Kuantan diberi saguhati sebagai ganti rugi bagi menampung kerosakan harta benda akibat aktiviti tersebut iaitu RM1,000 bagi setiap peniaga manakala RM500 kepada penduduk yang terjejas teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh, Datuk Abd Wahid Abd Manap pada 29 November lalu dilaporkan berkata, hanya tujuh daripada 21 kontraktor bauksit di sekitar Bukit Goh yang bersedia untuk memberi peruntukan secara bulanan kepada jawatankuasa itu bagi diagih kepada penduduk terjejas.

Buat permulaan, ujarnya yang juga AJK Umno Bahagian Paya Besar, sebanyak RM70,000 diterima daripada tujuh kontraktor terbabit dan mengikut persetujuan setiap kontraktor akan menyumbang sebanyak RM5,000 setiap bulan sehingga kerja-kerja perlombongan selesai.

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataannya berkata, kertas pemeriksaan berkenaan pelaksanaan aktiviti perlombongan bauksit di Pahang dijangka siap akhir bulan ini sebelum diserahkan kepada kepada kerajaan negeri awal tahun depan.

 

TAGS