Isu Mukhriz jadi PM : Puad jawab Mahfuz

Isu Mukhriz jadi PM : Puad jawab Mahfuz

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan Mahfuz Omar yang mempertikai kenyataannya iaitu tindakan Tun Mahathir mengadakan Deklarasi Rakyat untuk memastikan anaknya Mukhriz menjadi Perdana Menteri setelah Najib berjaya dijatuhkan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Dr Mohd Puad ZakarshiAhli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan Mahfuz Omar yang mempertikai kenyataannya iaitu tindakan Tun Mahathir mengadakan Deklarasi Rakyat  untuk memastikan anaknya Mukhriz menjadi Perdana Menteri setelah Najib berjaya dijatuhkan.

Semalam   dalam satu kenyataan Mahfuz mendakwa, takkan Mohd Puad bangang sangat sampai tidak tahu syarat untuk menjadi PM seseorang itu mestilah ahli Parlimen sedangkan Mukhriz hanyalah seorang Adun.

Menurut Mahfuz lagi kalau pun hendak serang Tun Mahathir biarlah bagi hujah yang munasabah dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang membengong dirinya sendiri.

Mohd Puad menjawab,  adakah Ahli Parlimen Pokok Sena itu  lupa dalam politik tiada yang mustahil, seperti tidak mustahilnya Mahfuz mempertahankan DAP yang anti Hudud sehingga sanggup menghina Presiden Pas yang dia masih menjadi ahlinya. 

Bagi beliau, Mahfuz juga lupa pada dirinya sendiri yang kini berkata Hudud bukan keutamaan dan menjadi pengemis di sana sini sama ada mahu memilih Amanah, Pas dan kini menumpang Deklarasi Selamatkan Malaysia itu.

“Mahfuz gagal membaca perkara taktikal dalam kenyataannya itu, iaitu tindak tanduk Mahathir termasuk Deklarasi Mahathir-Lim Kit Siang adalah untuk dijadikan sebagai ‘bargaining power’ menekan Najib supaya memberi laluan mudah kepada Mukhriz agar akhirnya nanti menjadi PM,” kata Puad selari dengan sikap Umno yang melebelkan deklarasi itu sebagai Deklarasi Mahathir – Lim Kit Siang untuk menimbulkan keraguan ahli Umno dan orang Melayu terhadap deklarasi itu

Sebelum keluar Umno, kata Puad yang tewas di kerusi parlimen Muar dalam pilihan raya lalu, Mahathir amat kecewa kerana Najib gagal membantu Mukhriz menang jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti 2013. Justeru mulalah Mahathir membuat kerenah menganggu pentadbiran Najib supaya Najib ikut telunjuknya bagi memastikan agenda Mukhriz menjadi PM tercapai.

“Kemarahan Mahathir terhadap Najib memuncak apabila Zahid dilantik menjadi TPM kerana itu dianggap semakin menyulitkan agenda Mahathir dan Muhkriz . Sebagai tindak balas Mahathir keluar Umno dan mempelopori Deklarasi Mahathir-Lim Kit Siang sebagai bargaining power agar Najib reconcile balik dengan beliau untuk pastikan di masa akan datang Mukhriz akhirnya jadi PM.

“Itu yang Mahfuz tidak faham. Maka tidak timbul isu Mukriz seorang Adun dan bukan ahli Parlimen. Itu bukan penghalang dan mungkin Mahfuz terlupa beberapa peristiwa yang dia sendiri terlibat kerana ia amat berkaitan,” katanya.

Beliau memberikan contoh,  Wan Azizah sanggup kosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam pilihanraya kecil kononnya untuk menjadi Perdana Menteri kerajaan 16 September.

“Dalam satu lagi kes, Adun Kajang sanggup letak jawatan untuk bagi laluan pula kepada Wan Azizah bertanding kononnya untuk menjadi Menteri Besar Selangor,” ujarnya sebagaimana dipetik dari laporan portal KLXpress.

Kata  Mohd Puad lagi  jika  mereka sanggup menandatangani deklarasi ini, tidak mustahil DAP sanggup kosongkan satu daripada kerusinya dan bagi laluan kepada Mukhriz bertanding seperti mana yang dilakukan oleh PKR di Kajang.

“Dan tidak mustahil juga Mahfuz sendiri sanggup mengosongkan kerusi Parlimen Pokok Sena dan bagi laluan kepada Mukhriz bertanding di sana. Mungkin Mahfuz boleh membalas jasa baik Mukhriz yang dikatakan telah memberinya beberapa kontrak di Kedah. Sebab itu Mahfuz muncul di beberapa perhimpunan mempertahankan Mukhriz sebagai MB.

“Dalam politik tiada yang mustahil. Dan itulah yang diamalkan oleh Mahfuz selama ini,” dakwanya.

TAGS