Isu rumah Guan Eng: SPRM diminta umum hasil siasatan terdahulu

Isu rumah Guan Eng: SPRM diminta umum hasil siasatan terdahulu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta mengumumkan hasil siasatan pemilikan rumah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn, Georgetown sejak ia disewa pada 2009 sehingga dibeli Guan Eng tahun lalu.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Hon Wai dalam suratnya kepada SPRM menyatakan Guan Eng ingin tahu hasil siasatan SPRM yang telah begitu
lama dijalankan.

Katanya, SPRM boleh mengumumkan hasil siasatan itu secara rasmi melalui surat atau melalui pengumuman di media massa.

Menurut Hon Wai, Ketua Menteri akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM bagi membuktikan tiada unsur rasuah dalam pembelian rumah berharga RM2.8 juta itu.

“Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng mengalu-alukan siasatan yang dijalankan agar dapat membuktikan bahawa beliau menjalankan pentadbiran bersih sehingga kerajaan negeri Pulau Pinang dipuji oleh Transparency International,” kandungan surat itu dipetik Roketkini.

Hon Wai menegaskan, isu penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis dijalankan secara tender terbuka dan tuduhan tidak berasas ini hanyalah satu
serangan peribadi terhadap Ketua Menteri.

“Isu penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang dijalankan secara tender terbuka bukanlah isu baru, dan pernah dicanang-canangkan oleh parti lawan
sebelum dan semasa pilihan raya umum 2013,” jelasnya.

Beliau juga meminta SPRM menghubungi Guan Eng minggu depan bagi diambil keterangan atau sebarang keperluan penyiasatan kerana Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan mengadakan lawatan kerjanya ke China minggu ini.

TAGS