Isu Tabung Haji patut celikkan Melayu DAP bukan ancaman, kata MP

Isu Tabung Haji patut celikkan Melayu DAP bukan ancaman, kata MP

Masalah kewangan yang membelenggu Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disedari oleh masyarakat Melayu sebagai isu lebih besar berbanding momokan kononnya Melayu sedang berdepan dengan ancaman dari DAP.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Masalah kewangan yang membelenggu Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disedari oleh masyarakat Melayu sebagai isu lebih besar berbanding momokan kononnya Melayu sedang berdepan dengan ancaman dari DAP.

Ahli Parlimen DAP dari Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri berkata, isu sebenar yang merunsingkan orang Melayu ialah pelbagai hal berkaitan institusi yang menjaga hak dan kepentingan mereka antaranya seperti Felda, Risda, Tekun, Fama dan Ikim.

Menurutnya, orang Melayu yang menjadi pendeposit dalam TH harus mendesak institusi pengurusan dana Islam terbesar di Malaysia itu supaya melantik individu yang mempunyai kemahiran teknikal dalam lembaga pengarahnya.

“Isu pokok ialah kecekapan dan kebolehan pengurusan. Jelas, ini menunjukan kualiti pengurusan yang lemah. Setiap pelaburan dan perbelanjaan mesti tertakluk kepada ‘oversight’ komiti yang lebih kuat,” ujarnya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menyifatkan TH mengalami masalah kepimpinan dan pengurusan, beliau menjangkakan saiz dividen dan bonus kepada para pendeposit mencecah RM4 bilion jika kadar kedua-dua pembayaran itu ialah tujuh peratus.

Mengulas kaedah TH membayar dividen itu, beliau memberitahu cara konvensional pembayaran ialah melalui rizab untung terkumpul berserta aset-aset lain.

Bagaimanapun, ujarnya, TH tidak boleh membayar dividen tersebut jika nilai aset kurang daripada nilai tanggungan mengikut Akta LTH.

“Situasi ini terjadi jika pelaburan yang dilakukan oleh TH tidak mendatangkan pulangan yang baik atau portfolio pelaburan tidak baik atau TH belanja lebih daripada wang yang dimiliki.

“Atau paling kita runsing ialah kegiatan ‘regulatory capture’ telah berlaku iaitu apabila pihak berkuasa seperti TH membeli atau berbelanja sesuatu lebih daripada nilai sewajarnya dan kemudian pihak yang tidak bertanggungjawab berkongsi lebihan di kemudian hari.

“Kita harap perkara ini tidak berlaku memandangkan pegawai dan pimpinan yang menerajui TH bertugas dengan institusi yang menjaga agama,” tegasnya.

BNM hantar surat

Datuk Mohd Ariff selanjutnya berkata, nilai rizab untung terkumpul yang merosot malah jatuh di bawah paras tanggungan dan liabiliti menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) menghantar surat peringatan kepada TH pada 23 Disember 2015 lalu.

“Ini yang membimbangkan Bank Negara sebagai pemantau institusi yang menerima deposit. TH ialah sebuah institusi kewangan bukan bank. Semua institusi yang menerima deposit berada di bawah pengawasan BNM.

“Jika nilai aset kurang daripada tanggungan, TH memerlukan bantuan daripada kerajaan iaitu pemindahan dana. Soalannya ialah mengapa duit pembayar cukai jadi mangsa akibat kualiti pengurusan TH?” bidasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu TH tidak dapat melabur untuk mendapat pulangan apabila deposit kurang sekaligus tidak mampu membeli aset yang menjana pendapatan.

“Bila kewangan tidak baik, perkhidmatan TH akan menurun. Pendeposit yang nanti menjadi jemaah haji tidak boleh menikmati keselesaan (akibat masalah kewangan TH). Ini yang mahu disorok pimpinan, tak beritahu pada orang Melayu,” tegasnya lagi.

TAGS