Isu ‘tiada babi’ : Jakim tiada kuasa ambil tindakan terhadap premis

Isu ‘tiada babi’ : Jakim tiada kuasa ambil tindakan terhadap premis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai kuasa untuk melakukan serbuan dan mengambil tindakan terhadap premis yang mempamer tanda ‘tiada babi atau ‘No Pork’, kata ketua pengarahnya Datuk Othman Mustapha.

Beliau berkata serbuan dan tindakan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Sememangnya Jakim, jabatan agama Islam negeri, KPDNKK dan dengan agensi-agensi lain berkaitan (penguatkuasaan) mempunyai jawatankuasa khas berkaitan tanda halal ini,” kepada ketika ditemui pemberita pada hari ketiga Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-37 di Ipoh, hari ini.

Othman berkata permohonan pensijilan halal adalah secara sukarela dan mana-mana pihak yang ingin memohon, mereka perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Istilah ‘No Pork’ itu memberitahu pengguna yang tidak makan babi bahawa premis berkenaan tiada babi. Dari segi (istilah) tanda halal, ia bukan sahaja merangkumi aspek babi, malah ayam yang tidak disembelih (mengikut syariat),” jelasnya.

Sehubungan itu, Othman berkata pengguna terutama umat Islam perlu memilih premis perniagaan yang mempamerkan logo halal bagi mengelak sebarang keraguan.

Ahad lalu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melarang premis-premis makanan di negeri itu daripada meletakkan tanda “tiada babi” di premis mereka untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata hanya premis makanan yang mempamer sijil halal yang dikeluarkan Jakim boleh dikunjungi oleh pengguna beragama Islam.

TAGS