Jaga etika menegur elak konflik agama, kata Dr. Tan

Jaga etika menegur elak konflik agama, kata Dr. Tan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Masyarakat bukan Islam dinasihati berbincang secara tertutup sebarang isu yang membabitkan sensitiviti agama dan kaum di negara ini, kata Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw.

Beliau berkata, tindakan rakan partinya, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr P Ramasamy yang memanggil pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’ yang harus di halau keluar dari negara ini tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

“Hal agama kita jangan menegur orang jika tidak berpuashati bincang secara sulit jangan bangkit perkara yang boleh merosakkan hubungan antara agama.

“Walaupun tidak puashati kita selesaikan secara baik dan berhemah,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas kenyataan yang dikeluarkan Adun Prai itu di facebooknya pada Isnin tetapi menarik balik status dimuatnaik itu setelah diviralkan pengguna media sosial.

Ramasamy dipercayai menggunakan perkataan “syaitan” itu kepada Dr Zakir Naik tetapi bukannya ditujukan kepada masyarakat Islam di negara ini.Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan penggunaan perkataan tersebutyang menimbulkan rasa kurang senang terhadap majoriti orang Islam di negara ini.

Ramasamy sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi pada 7 Julai 2014 dilaporkan berkata, MIC, MCA dan Gerakan mungkin takut dengan peristiwa 13 Mei, beliau bersedia bila-bila masa sekiranya Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hendak mengembalikan insiden 13 Mei.

“Jangan cakap sahaja. Setiap masa cakap pasal 13 Mei… 13 Mei. Cetuskanlah 13 Mei. Kamu mulakan 13 Mei, maka ini merupakan kali pertama kerajaan memulakan 13 Mei,” kata Timbalan Ketua Menteri itu.

Kenyataan Muhyiddin sebelum itu telah disalahertikan oleh Ramasamy. Muhyiddin mengingatkan semua pihak agar tidak mencetuskan perbalahan kerana mungkin peristiwa 13 Mei akan berulang sekiranya perpaduan antara kaum tidak dijaga.

Justeru dalam hal ini Dr Tan tidak menafikan hal berkaitan agama, kaum dan bangsa amat sensitif bagi semua kaum.

” Kalau kita mahu menegur orang kena ada etika, amalan yang boleh menggelakkan daripada meletusnya perseketaan dibimbangi boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Saya tidak setuju, walaupun kadangakala saya pun tidak puashati tetapi saya akan berjumpa terus dengan orang berkenaan untuk bercakap.

“Amalan orang Malaysia, jika mahu menyelesaikan sesuatu masalah itu, kita duduk bincang secara tertutup. Ini caranya lebih-lebih lagi membabitkan hal-halagama antara kaum,” ujar Dr Tan yang menjadi Ahli Parlimen Kepong selama lapan penggal ini.

TAGS