Jagung bijirin sumber pendapatan baharu negara

Jagung bijirin sumber pendapatan baharu negara

Penanaman jagung bijirin sebagai industri baharu bagi memenuhi keperluan makanan ternakan negara bakal memberi peluang kepada pengusaha kecil-kecilan khususnya generasi muda untuk menjadikan bidang pertanian sebagai sumber pendapatan.

Kalangan mereka yang terbabit dalam bidang pertanian berpendapat kejayaan  projek perintis jagung bijirin di kawasan seluas 30 hektar di Kampung Dadong,Terengganu yang mencapai anggaran tuaian kira-kira 200 tan metrik sejak Mac lepas, boleh dijadikan panduan untuk golongan berkenaan bergiat aktif dalam dalam projek seumpama itu.

Ahli Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad berpendapat kejayaan projek perintis itu membuktikan kerajaan berjaya merancakkan lagi kedua-dua subsektor pertanian negara iaitu penanaman dan ruminan (penternakan ayam).

“Jika kita lihat subsektor penanaman, kerajaan berjaya menyasarkan bagi mengguna pakai tanah-tanah terbiar sebanyak 120,000 hektar untuk tanaman jagung. Jadi, pihak yang sebelum ini tidak berkeupayaan menceburi bidang itu kerana tidak memiliki tapak, harus merebut peluang ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berharap, pengurangan kos pengeluaran makanan ternakan dapat melahirkan lebih ramai pengusaha baharu kecil-kecilan dalam kalangan generasi muda yang mengusahakan ladang-ladang kecil penternakan di seluruh negara kerana sebelum ini industri penternakan ayam banyak dikuasai syarikat besar.

Selain itu, Ahmad Mukhriz berkata lebih ramai pengusaha industri sokongan dalam bidang pertanian dan penternakan dapat dilahirkan antaranya pembekal baja dan benih, penyedia logistik, pemprosesan serta pihak yang terlibat dengan penjualan dan eksport.

“Dengan bantuan khusus yang disediakan kerajaan seperti skim bantuan geran Agropreneur Muda, saya yakin lebih ramai anak muda akan berminat menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya pilihan,” kata Ahmad Mukhriz.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata projek perintis jagung bijirin di Kampung Dadong adalah kejayaan besar kepada industri pertanian negara kerana sasaran itu berjaya melepasi piawaian antarabangsa bagi penanaman jagung bijian iaitu lima tan metrik per hektar.

Susulan itu, Ahmad Shabery berkata kementerian bercadang menjadikan projek jagung Kampung Dadong sebagai dasar untuk menjadikan jagung bijirin yang dijadikan makanan utama bagi ternakan sebagai satu industri  dengan memperluaskan projek itu ke kawasan-kawasan berpotensi.

Beliau berkata pengusaha ternakan mengimport hampir empat juta tan makanan ternakan pada setiap tahun antaranya dari Argentina dan Brazil yang bernilai RM3.1 bilion.

CATEGORIES