JAKOA sedang selesai bantahan Orang Asli terhadap pembalakan

JAKOA sedang selesai bantahan Orang Asli terhadap pembalakan

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang berusaha menyelesaikan tindakan lebih 200 penduduk Orang Asli yang membantah aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Gua Musang.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang berusaha menyelesaikan tindakan lebih 200 penduduk Orang Asli yang membantah aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Gua Musang.

Kumpulan itu membuat halangan di laluan keluar masuk lori pengangkut balak di Kampung Petei, Pos Bering di sini.

Berikutan bantahan tersebut, kerajaan Kelantan mengarahkan semua aktiviti pembalakan di kawasan terbabit dihentikan sementara berkuatkuasa hari ini.

Ketua Pengarah Jakoa, Mohd Jamalludin Kasbi berkata sebelum mengadakan perjumpaan dengan kumpulan tersebut, pihaknya terlebih dahulu mengadakan perbincangan dengan pihak lain termasuk agensi kerajaan yang berkaitan dalam isu berkenaan.

Beliau berkata perjumpaan kali pertama dengan agensi kerajaan terbabit telah diadakan petang ini dan akan disusuli perjumpaan kali kedua dalam masa terdekat.

“Kita percaya perkara itu boleh diselesaikan secara rundingan tanpa berlaku kejadian tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan agensi kerajaan terbabit di Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Antara agensi kerajaan terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, dan Jabatan Kesihatan Kelantan.

Sejak 26 September lepas, lebih 200 penduduk Orang Asli dilaporkan berkumpul di Kampung Petei, Pos Bering di sini, bagi membantah aktiviti pembalakan di HSK Balah itu dengan mereka membina sekatan untuk menghalang lori mengangkut keluar balak dari kawasan tersebut sehingga mencetuskan kekecohan dengan pembalak.

Kumpulan Orang Asli berkenaan bertindak demikian kerana tidak mahu aktiviti pembalakan diteruskan kerana dakwaan mereka ia membawa kesan kepada kemusnahan hutan dan kawasan tadahan air bukit untuk kegunaan harian mereka.

Mohd Jamalludin berkata semua pihak memahami situasi tersebut dan akan menyelesaikannya secara rundingan dengan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

Beliau berharap perbincangan dengan kumpulan berkenaan yang akan diadakan dalam tempoh terdekat akan dapat menyelesaikan masalah yang timbul dan mereka bersurai dengan cara baik.

Beliau turut menyambut baik tindakan kerajaan negeri mengarahkan aktiviti pembalakan di kawasan itu dihentikan sementara.

“Ini akan meredakan keadaan dan rundingan dengan kumpulan Orang Asli terbabit dapat dilakukan secara harmoni tanpa sebarang gangguan,” katanya.

TAGS