Jamal mahu polis segera bertindak sebelum `tukul’ hentam kepala Zaid

Jamal mahu polis segera bertindak sebelum `tukul’ hentam kepala Zaid

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos  hari ini mendesak pihak polis mengambil tindakan segera terhadap  ahli DAP Datuk Zaid Ibrahim ekoran dakwaan menghina Sultan Selangor baru-baru ini.

Beliau yang mengadakan demontrasi di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)  bersama perwakilan Umno Selangor telah membawa plakad beserta gambar yang menyerupai Zaid dan empat batang penukul  bersama  tiga lagi perwakilan telah bertindak menghentam beberapa kali plakad tersebut untuk mengambarkan protes terhadap Zaid.

“Kami rakyat Selangor sudah hilang sabar kalau tidak ada tindakan (polis) esok terhadap ‘haram jadah’ ini hammer inilah akan kami hammer kepala dia.

“Ini adalah amaran keras daripada kami kerana kami rakyat negeri Selangor, anak selangor tidak mahu sekali-kali sultan kami dicaci atau apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang dilakukan.

“Kita ada undang-undang tetapi orang yang jalankan tindakan undang-undang mana dia… jangan biarkan kami bertindak melanggar undang-undang,” ujarnya yang merujuk kepada pihak polis yang sehingga kini tidak mengambil tindakan terhadap bekas menteri undang-undang di Jabatan Perdana Menteri itu.

Menurut Jamal lagi beliau yang sebelum ini membantah tindakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyokong pesta arak di negeri itu, menyebabkan beliau ditahan reman tetapi ujarnya, tindakan sama tidak dilakukan oleh pihak polis terhadap Zaid.

“Jangan sampai kami bertindak melampaui undang-undang sudah berapa kali… ‘celaka mulut haram jadah’ ini menguris hati kami tidak sekali pun diambil tindakan.

“Saya hanya pecahkan botol arak di SUK kerana tentang cadangan Azmin untuk mengadakan pesta arak, saya pula merengkok dalam lokap beberapa hari mungkin nanti saya didakwa,” ujarnya.

Jamal bertindak demikian susulan Zaid sebelum ini mempertikaikan pandangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi wawancara khas dengan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris pada Selasa.

Baginda menyatakan kebimbangan dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang sengaja mengeksplotitasi isu kaum, agama dan lain-lain perkara sensitif dalam usaha sokongan pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Titah baginda, tindakan seumpama itu dilihat akan mele­takkan negara ke arah kehancuran yang mana isu tersebut sentiasa menjadi perkara yang dibincang serta dibimbangkan oleh sembilan raja-raja Melayu di negara ini.

Malah, dalam wawancara sama, baginda turut menegur Mahathir yang sebelum ini menghina etnik Bugis selain menyifatkan bekas Perdana Menteri itu merupakan seorang pemimpin yang memiliki inferiority complex (merasa rendah diri yang kompleks) selain perasaan kebencian mendalam dalam dirinya.

Bagaimanapun, pandangan baginda itu dipertikaikan oleh Zaid apabila beliau menasihatkan baginda supaya berhati-hati dalam berkata-kata menerusi twitternya.

“Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-ka­tanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar,” dakwa Zaid.

Umno Selangor juga akan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor pada Ahad ini di Istana Kayangan, Shah Alam  bagi menyatakan sokongan rakyat Selangor terhadap pendirian tuanku Sultan.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS