Jamal saman kerajaan Selangor, dua lagi kerana roboh resort

Jamal saman kerajaan Selangor, dua lagi kerana roboh resort

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos menfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan dua lagi kerana menyita dan merobohkan sebahagian resort miliknya, dengan mendakwa tindakan itu bersifat politik.

Beliau memfailkan saman itu melalui syarikat Jamal Jaya Holding Sendirian Berhad yang menjalankan perniagaan resort itu di Sekinchan, selaku plaintif.

Jamal, yang hadir di mahkamah bersama peguamnya Mohd Nasser Yusof, menfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen dengan menamakan Majlis Daerah Sabak Bernam, Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutannya, Jamal berkata pada 21 Disember beliau secara simbolik melakukan protes di perkarangan pintu masuk Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam berhubung isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku di negeri itu.

Beliau mendakwa tindakan protes itu membuatkan pemimpin negeri itu berang hingga menyebabkan tindakan bersepadu dibuat defendan pertama iaitu dengan menyita dan mengarahkan premisnya ditutup dan meruntuhkan bangunan di kawasan persekitaran premis terbabit pada 22 Disember lalu.

Beliau mendakwa tindakan itu tidak lain adalah kerana ingin membalas dendam serta berniat mala fide terhadap insiden protesnya dan bersifat politik hingga menyebabkan kerugian teruk dan reputasi buruk kepadanya.

Jamal berkata Majlis Daerah dan Pejabat Tanh dan Daerah dipercayai ditekan Kerajaan Negeri Selangor melalui arahan pentadbiran Menteri Besar kerana banyak binaan didirikan tanpa kebenaran pihak berkuasa malah ada yang menjalankan perniagaan tanpa lesen khususnya di daerah Sabak Bernam.

Selaku plaintif, Jamal menuntut antaranya perintah injunksi menghalang defendan kedua daripada menjalankan apa-apa rancangan perobohan ke atas mana-mana bahagian di persekitaran premisnya, ganti rugi RM140,000 dan lain lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

TAGS