Jamal tidak mewakili peribadi Melayu, jangan jadi macam Jamal!

Jamal tidak mewakili peribadi Melayu, jangan jadi macam Jamal!

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kelakuan ala samseng kumpulan baju merah diketuai Jamal Yunos keatas peserta konvoi Bersih 5 adalah amat memalukan dan tidak menggambarkan keperibadian Melayu.

Perbuatan Jamal seperti merentap kain pemidang di Teluk Intan, mengadakan sidang media dalam jamban, insiden baling telur dan menerajang peserta konvoi Bersih 5 di Sabak Bernam adalah jelas sekali sebagai tindakan tidak bertamadun.

Tindakan ini bukan membela Melayu, sebaliknya memalukan orang Melayu. Jamal, anda bertanggungjawab kerana memalukan orang Melayu!

Sejak Bersih 1, 2, 3 dan 4 yang lalu, rakyat Malaysia berbilang bangsa termasuklah orang Melayu telah turut sama menyertainya.

Pengalaman peribadi saya sendiri sepanjang menyertai himpunan Bersih, rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang telah turun berhimpun atas semangat patriotik.

Kami mahu sistem pilihan raya dan sebuah kerajaan yang bersih. Ini akan memastikan Malaysia berjalan atas landasan yang betul demi masa depan anak bangsa termasuklah orang Melayu.

Saya fikir, Jamal yang lebih obses dengan kelakuan samseng dan membuat PC di dalam jamban pastinya tidak akan faham perkara ini.

Jamal pastinya lebih tidak faham suasana persaudaraan rakyat yang wujud sewaktu himpunan Bersih.

Jamal mana tahu ada orang-orang cina yang menjadi bentang untuk keselamatan peserta Bersih beragama Islam yang sedang menunaikan solat berjamaah.

Jamal juga tidak akan pernah terbayang bagaimana para peserta bersih tak kira bangsa saling bergilir-gilir menjaga keselamatan sewaktu tidur malam ketika Bersih 4 yang lalu.

Jamal tak tahu ada peserta Bersih berbangsa Cina dan India yang membantu mencurahkan air mineral kepada peserta muslim untuk mengambil wuduk ketika himpunan berlangsung.

Contoh-contoh diatas mungkin tipikal, tetapi amat penting dalam mencerminkan luhurnya hati budi setiap warga kita tanpa disuntik prejudis antara setiap anak bangsa.

Jamal memang tidak akan faham kerukunan rakyat ini kerana orang yang berkelakuan samseng dan bermentaliti ‘jamban’ pastinya lebih memilih untuk bertindak melulu ikut emosi samata-mata.

Lebih malang lagi, jika Jamal bertindak sedemikian kerana telah disumbat dedak ke mulutnya.

Dedak? Oh tidak… tak mungkin Jamal si pembela Melayu ini makan dedak. Jamal tidak akan memalukan orang Melayu dengan mengambil dedak demi misi-misi ala samseng tertentu. Betul tak Jamal?

Apapun, tindakan Jamal dan kumpulan baju merahnya ini tidak lebih sekadar menambah malu dan menjatuhkan maruah keperibadian orang Melayu.

Tidak perlulah Jamal berterus-terusan mendabik dada menjadi hero pembela Melayu.

Melayu ala samseng mana yang Jamal wakili? Melayu UMNO? Melayu yang masih pertahankan Najib yang amalkan kleptokrasi? Melayu yang berkawan dengan Jho Low? Yang rompak duit rakyat melalui skandal 1MDB sehingga nama Malaysia ‘masyhur’ seantero dunia?

Sungguh, Jamal tidak mewakili keperibadian orang Melayu. Jadi, janganlah kita jadi macam Jamal.

SHEIKH OMAR ALI adalah penolong setiusaha publisiti DAP Johor

CATEGORIES
TAGS