Jamal tidak wajar guna platform politik, polis perlu berlaku adil

Jamal tidak wajar guna platform politik, polis perlu berlaku adil

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak wajar mengunakan platform politiknya untuk bertindak di luar batasan untuk menentang Bersih 5, kata Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Jabatan Sains Politik Universiti Sains Malaysia.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Prof Ahmad Fauzi Abdul HamidPengerusi Gabungan NGO Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak wajar mengunakan platform politiknya untuk bertindak di luar batasan untuk menentang Bersih 5, kata Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Jabatan Sains Politik Universiti Sains Malaysia.

Beliau berkata, dengan memegang dua jawatan dalam NGO dan politik sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal tidak seharusnya melakukan tindakan yang mengaitkan parti disokongnya.

“Perbuatannya tidak wajar kerana ia akan mengaitkan parti yang bertangungjawab menegakkan undang-undang di negara ini.

“Mungkin Jamal mempunyai muslihat politik untuk menonjolkan diri sebagai juara mempertahankan orang Melayu dan parti pemerintah.

“Mahu menonjolkan diri sebagai bakal calon dan pada akhirnya dia akan lebih memaparkan wajah negatif kepada pihak pemerintah.

“Dalam hal ini dia perlu berfikir dua tiga kali sebelum terlambat bukan sahaja NGO yang dipimpinnya tetapi identiti Umno yang dibawanya sekali,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas dakwaan dikalangan pemimpin pembangkang dan penyokong Bersih 5, tindakan ala samseng kumpulan Baju Merah diketuai Jamal ke atas peserta konvoi Bersih 5 yang dianggap amat memalukan dan tidak menggambarkan keperibadian Melayu.

Perbuatan Jamal seperti merentap kain pemidang di Teluk Intan, mengadakan sidang media dalam jamban di bangunan Umno, insiden baling telur dan menerajang peserta konvoi Bersih 5 di Sabak Bernam adalah jelas sekali sebagai tindakan tidak bertamadun.

Tindakan ini bukan membela Melayu, sebaliknya memalukan orang Melayu.

“Jamal, anda bertanggungjawab kerana memalukan orang Melayu!,” kata Setiauasaha DAP Sheikh Omar Ali seperti dipetik dalam kenyataannya semalam.

Ahmad Fauzi juga menegaskan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak segera terhadap gerakan Baju Merah atau Baju Kuning, sekiranya melanggar undang-undang dalam perhimpunan aman Bersih 5 pada 19 November ini.

Beliau berkata, tindakan polis yang lewat bertindak dalam beberapa insiden Konvoi Bersih di Teluk Intan dan Sungai Besar membabitkan dua pihak memberikan imej buruk kepada PDRM.

“Sangat penting pihak keselamatan juga berlaku adil terhadap kedua pihak sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang sama ada betul atau tidak biar mahkamah tentukan.

“Jika berlaku kekacauan kita tidak mahu nama PDRM terbabit seolah menyebelahi parti pemerintah kerana lambat bertindak.

‘Seperti berlaku di Sabak Bernam semalam hanya polis trafik yang bertindak meleraikan pergaduhan antara penyokong Baju Merah dan Baju Kuning,” ujarnya.

Jelas Ahmad Fauzi lagi, kelewatan pihak polis bertindak akan memberi persepsi buruk kepada parti pemerintah seolah tidak ada pemisah antara kuasa kerajaan dan parti.

“Setiap orang perlu bertangugngjawab tidak kira berapa banyak identiti yang dipegangnya. Ini kerana ramai lagi orang yang pegang dua tiga jawatan tidak pernah menimbulkan masalah babit kenteraman awam.

“Tidak kira siapa yag bersalah antara dua pihak itu kelak, polis harus segera bertindak.

“Kita bimbangi akan berlaku kekacauan diluar kawalan pihak berkuasa seperti yang telah berlaku di Thailand dan India kerana pihak keselamatan lambat dan enggan bertindak kerana pihak keselamatan memihak kepada golongan tertentu,” ujarnya.

Dalam kejadian pada Sabtu di Sabak Bernam seorang peserta konvoi Bersih 5 telah diserang oleh sekumpulan peserta Gerakan Baju Merah.

Mereka pada mulanya menolak motosikal lelaki itu dan kemudiannya seorang peserta Baju Merah menendang lalu mereka melemparkan objek seperti botol dan telur ayam ke arahnya.

Polis menjelaskan bahawa lelaki yang diserang itu mahu pulang ke rumah dan telah mengambil laluan yang diduduki oleh kumpulan Baju Merah.

Semalam Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan turut menyelar tindakan segelintir anggota Gerakan Baju Merah yang dilaporkan menyerang seorang peserta konvoi motosikal Bersih 5.0 di Sabak Bernam.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menyifatkan tindakan berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak sepatutnya berlaku dalam negara ini yang mengamalkan demokrasi.

“(Insiden) ini kita tidak boleh terima. Sesiapa sahaja yang terlibat, tindakan ganas perlu kita kecam dan saya harap polis mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Bagaimanapun  Jamal dalam satu kenyataan semalam berkata,  pihak polis telah menahan empat peserta baju merah yang dipercayai terbabit dalam insiden tersebut. Tiga daripadanya dibebaskan dan seorang lagi sedang diuruskan ikat jamin manakala  dua lagi peserta yang terbabit sedang dikenal pasti oleh pihak polis.

TAGS