Jaminan PKS tempatan manfaatkan TPPA sudah tersedia, kata Isis

Jaminan PKS tempatan manfaatkan TPPA sudah tersedia, kata Isis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan sewajarnya memanfaatkan akses pasaran yang ditawarkan oleh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) memandangkan kerajaan telah menyediakan rangkaian jaminan untuk membantu sektor itu dalam meneroka pasaran luar negara.

Dalam menyangkal persepsi salah 30 peratus atau 195,000 PKS akan ‘hilang’ selepas pelaksanaan TPPA, Felow Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Firdaos Rosli berkata perjanjian itu turut menyediakan kecekapan kos untuk PKS melaksanakan eksport.

“Kerajaan boleh menyediakan beberapa bentuk sokongan atau rangkaian jaminan, seperti pinjaman SME Corp dan Dana Pembangunan Sumber Manusia.

“Terdapat juga sokongan lain, namun PKS negara ini perlu menjadi lebih proaktif,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar hari kedua sesi khas TPPA di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Firdaos berkata TPPA akan memberi manfaat kepada Malaysia dengan menarik pelaburan dari negara berteknologi maju, yang akan membantu negara mencapai aspirasi menjadi negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata perjanjian yang melibatkan 12 negara itu tidak akan menjejaskan pelaburan dari China, malah jumlah pelaburan sebenarnya akan meningkat.

“Kita terlalu kecil untuk memilih siapa rakan kita, jadi, kita berkawan dengan semua orang.

“Dengan menandatangani TPPA, termasuk Amerika Syarikat, tidak bermakna kita mengenepikan China. Sebenarnya, kita menaik taraf perjanjian perdagangan kita dengan republik itu,” tambahnya.

TAGS