Jangan bercakap seperti ketua balai, Hanipa tegur KPN

Jangan bercakap seperti ketua balai, Hanipa tegur KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu lebih serius untuk mendapatkan keterangan editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown bagi menyiasat dakwaan pembayaran RM9.5 juta oleh perdana menteri kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah dan tidak membuat kenyataan seperti ketua balai kampung.

Mohamed Hanipa MaidinPengerusi Biro Undang-undang (Kanun) Parti Amanah Negara Mohamed Hanipa Maidin kesal dengan sikap berdolak dalih Khalid dalam isu ini dan mahukan penjelasan sama ada kertas siasatan mengenai kes berkenaan telah dibuka.

“Apabila saya membaca beberapa kenyataan Ketua Polis Negara berhubung isu seorang peguam senior dikatakan menerima RM9.5 juta daripada dana yang ada kaitan dengan 1MDB, saya rasa nanpak seperti tidak wujudnya keseriusan untuk menyiasat dakwaan Sarawak Report tersebut.

“Bila IGP meminta Claire untuk datang ke Malaysia dan tunjukkan bukti tapi dalam masa yang sama tidak boleh jamin laluan selamat ke atas Claire, sudah tentu ia membentuk persepsi bahawa saksi penting itu seolah-olah tidak dialu-alukan ke Malaysia untuk membantu siasatan,” ujar Hanipa.

Menurut beliau, adalah sesuatu yang pelik jika kertas siasatan berhubung dakwaan Sarawak Report itu belum dibuka dan jika ianya telah dibuka, sepatutnya proses siasatan sudah bermula.

Sebagai saksi penting, katanya polis sepatutnya mengambil kenyataan Claire.

Malah tambah beliau, jika kedudukan geografi menjadi halangan, polis masih boleh meneruskan siasatan dengan mengambil kenyataan daripada peguam kanan terbabit, Peguam Negara dan Perdana Menteri.

“Pada hemat saya, keterangan mereka bertiga adalah penting dan wajar diambil untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, jika Claire menghadapi kesukaran untuk datang ke Malaysia kerana ketua polis negara tidak boleh menjamin keselamatan beliau, pasukan penyiasat polis boleh pergi ke London untuk mengambil keterangan beliau.

“Isunya nak ke tak nak? Saya rasa KPN tidak boleh ketepikan begitu sahaja pendedahan Claire sebagai khabar angin kerana seperti Claire katakan, fakta yang didedahkan oleh Sarawak Report yang IGP mengenali suspek utama kes rasuah di Melaka dan keluarga beliau ada hubungan persahabatan dengan gengster pusat judi dan urut diakui oleh IGP sendiri.

“Justeru itu, nasihat saya kenyataan IGP biarlah betul betul profesional dan berwibawa bukan macam standard kenyataan ketua balai polis kampung sahaja,” ujar Hanipa yang juga ahli parlimen Sepang.

TAGS