Jangan tangkap aktivis alam sekitar seperti penjenayah

Jangan tangkap aktivis alam sekitar seperti penjenayah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengecam penahanan aktivis alam sekitar termasuk Orang Asli yang mempertahankan hutan daripada pembalakan melampau.

Beliau berkata, golongan yang mempetahankan kehijauan alam sekiar ini harus diraikan bukan ditangkap sesuka hati.

“Kita sudah biasa kedengaran ahli politik pembangkang ditahan dan direman atas alasan yang remeh.

“Akhir ini pihak berkuasa meluaskan sasaran mereka meliputi aktivis, tokoh NGO, siswa, personaliti dan juga pelukis kartun.

“Apa yang sudah berlaku pada negara yang kita cintai ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil dan pengurus Norhayati Shahrom ditahan selepas didakwa menghina Sultan Johor melalui catatan Facebook yang menonjolkan aktiviti pembalakan di tanah yang dipercayai milik Sultan.

Mereka disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Sekiranya didapati bersalah, mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000, atau sehingga 1 tahun penjara, atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Raja Bahrin yang juga ketua Biro Antarabangsa Amanah berkata, tangkapan-tangkapan ini menyebabkan orang luar melihat Malaysia sebagai sebuah negara dunia ketiga.

Beliau berkata, nasib yang dihadapi oleh Oang Asli Temiar Gua Musang yang menyaksikan beberapa orang ditangkap kerana melakukan sekatan-sekatan untuk menghentikan aktiviti pembalakan yang disokong kerajaan Kelantan menunjukkan kerisauan mereka terhadap masalah banjir yang berlaku di negeri itu.

“Mungkin apa yang Orang Asli bantah hari ini mempunyai banyak kaitan dengan kejadian banjir yang dialami oleh Kelantan ketika itu.

“Tetapi bukan mahu mendengar rungutan mereka dan belajar daripada kesilapan sebaliknya Orang Asli telah ditangkap dan dituduh menghalang aktiviti perniagaan oleh kontraktor pembalakan yang diluluskan oleh kerajaan.

“Kami semua terkejut dengan tahap kemusnahan semasa banjir di Kelantan dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya mengambil tindakan terhadap pihak yang mengeluarkan lesen bagi aktiviti melibatkan alam sekitar.

“Kerajaan perlu menyiasat mereka yang bertanggungjawab untuk meluluskan lesen, kekurangan penguatkuasaan terhadap pemuliharaan alam sekitar dengan pihak berkuasa dan kontraktor pembalakan haram, bukan menangkap mereka melaporkan perkara-perkara ini,” katanya lagi.

TAGS