‘Jangan wala’ membuta tuli kepada pemimpin’

‘Jangan wala’ membuta tuli kepada pemimpin’

Perbuatan tikam belakang, adu domba untuk mendapat habuan dan kedudukan adalah permainan politik lama yang sudah tidak sesuai untuk dijadikan budaya dalam situasi politik kini.

“Malah wala’ dan taat setia kepada pemimpin secara membuta tuli serta menganggap pemimpin sentiasa benar adalah antara amalan yang sudah tidak boleh digunakan,” kata Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir semasa merasmikan Konvensyen AMANAH Pulau Pinang di Dewan Yayasan Aman, Penanti, semalam.

Menurut beliau lagi, amalan seperti mengkafirkan orang lain adalah amalan yang tidak akan menambahkan pemikiran baru serta tidak harus dijadikan teladan oleh Amanah.

“Amanah merupakan parti yang tubuh dalam zaman alaf baru dan tidak harus berada pada tahap pemikiran politik lama.

“Politik alaf baru kini harus tidak lagi dikuasai oleh amalan khianat mengkhianati antara satu sama lain.

“Kita harus keluar dari kepompong yang mengamalkan politik lama serta mewujudkan kelompok baru Islam yang tidak kelaskan orang pada kelas 1, 2 dan sebagainya,” jelas beliau lagi.

Sehubungan itu katanya, bagi menghadapi perubahan tersebut, seluruh negara telah pun menubuhkan Pakatan Harapan (PH) secara rasmi.

Ujarnya lagi, setakat ini PH telah pun membentuk lebih dari 100 kerusi Parlimen di seluruh negara.

{loadposition myposition}

“Insya Allah, pada penghujung September 100 Parlimen PH akan dilancarkan.

“Kejayaan ini dalam tempoh yang amat singkat membuktikan bahawa PH mempunyai kekuatan dan mendapat sokongan yang amat memberangsangkan dari golongan akar umbi.

“Justeru itu kita akan mereaslisasikan aspirasi yang amat diharapkan oleh rakyat bagi PH mengambil alih pentadbiran negara dalam pilihan raya umum ke 14 yang akan datang,” tegasnya lagi.

Tambah Anuar lagi, kekuatan yang ada pada komponen PH amat meyakinkan kemenangan yang bakal dicapai melalui beberapa pendekatan dan strategi yang telah diatur.

Oleh kerana itu katanya, menolak politik kebencian seperti yang menjadi amalan BN kini sudah tidak relevan lagi.

“Rakyat kini amat dahagakan pembaharuan dalam tempoh segera.

“Reformasi yang akan berlaku dengan amalan demokrasi menjelang pilihan raya yang akan datang, amat dinanti oleh majoriti rakyat dalam negara ini.

“Rentetan itu, ayuh kita bangkit dan pastikan PH mampu untuk menjadi pentadbir negara bagi menggantikan Umno dan BN tidak lama lagi, ” saran beliau lagi.

CATEGORIES
TAGS