Januari bulan bendera Amanah Kelantan

Januari bulan bendera Amanah Kelantan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Islam mengajar umatnya supaya melengkapkan diri sepadan dengan apa yang digunakan pihak lawan, panah dengan panah, pedang dengan pedang.

Berhadapan zaman teknologi seperti sekarang, adalah perlu satu persiapan yang sepadan dengan musuh disediakan dalam usaha mengalahkan penindas rakyat.

Untuk tujuan itu, penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa petang semalam melancarkan derma untuk membeli sebuah trak dilengkapi kemudahan diod pancaran cahaya (LED).

“Trak seperti ini amat penting untuk berhadapan dengan media Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan-kawasan di mana capaian internet adalah terbatas,” katanya.

Beliau berucap merasmikan bulan bendera parti Amanah Kelantan berhampiran Sekolah Kebangsaan Tapang yang terletak di sempadan kawasan parlimen Kota Bharu dan Pengkalan Chepa. Sepanjang bulan Januari ini Amanah Kelantan melancarkan bulan bendera

Dalam ucapannya beliau menceritakan sambutan hangat diberi rakyat Kelantan setelah beliau menyertai Amanah.

“Ke mana sahaja saya pergi dan bertemu dengan kenalan lama dan baru, mereka berbisik untuk menyokong parti Amanah.

“Bagaimanapun di Kelantan kita menggunakan strategi dua lapis di mana bagi mereka yang tiada kepentingan dengan kerajaan penyertaannya diisytihar secara terbuka manakala bagi yang terlibat dengan kerajaan penyertaan mereka secara berselindung,” katanya.

Situasi ini katanya perlu dibuat seperti itu kerana Amanah kini menjadi parti yang dimusuhi oleh kedua-dua kerajaan negeri dan pusat.

“Apa yang mengejutkan ialah tindakan pihak kerajaan negeri yang terus menerus menggunakan senjata ugutan untuk memecat ahli-ahli yang menyertai Amanah.

“Ini amat bertentangan dengan konsep yang diamalkan oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.

Beliau menyingkap kembali sejarah ketika kemenangan Pas tahun 1990.

“Sebaik kami memasuki pejabat menteri besar, ketua kerani (CC) pejabat MB datang ke bilik saya menangis sambil menceritakan keresahan semua kakitangan kerana takut ditukar atau dikenakan tindakan-tindakan lain.

“Selepas saya memaklumkan kepada arwah tok guru beliau terkejut dan berkata itu bukan cara Islam.

“Kita tidak akan mengapa-apakan semua kakitangan lalu beliau meminta saya mengarahkan Datuk Setiausaha kerajaan negeri membuat pekeliling bagi pihak MB bahawa semua kakitangan tidak akan dikenakan sebarang tindakan semata-mata kerana wujudnya kerajaan baru,” katanya.

Menurut beliau ada kakitangan pejabat MB kekal sehingga tok guru meninggal dunia.

“Kebanyakan mereka telah pencen dan hampir semua datang jumpa saya untuk menyertai Amanah.

“Mereka ini memang menyanjung tok guru setinggi langit dan walaupun tidak setinggi itu mereka kenal saya tetapi menyatakan bersedia bersama saya untuk meneruskan perjuangan tok guru,” katanya.

Sepanjang bulan Januari ini Amanah Kelantan melancarkan bulan bendera dan semua pusat yang digunakan sebagai markas parti di semua peringkat hendaklah menaikkan bendera.

Ahli-ahli Amanah juga digalakkan menaikkan bendera di rumah masing-masing.

TAGS