Jelajah Muhyiddin-Mukhriz di Johor momentum rakyat tolak Najib, kata DAP

Jelajah Muhyiddin-Mukhriz di Johor momentum rakyat tolak Najib, kata DAP

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sheikh Omar AliDAP Johor melihat program jelajah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Mahathir di negeri itu suatu bentuk ‘grand coalition’ melibatkan semua lapisan rakyat dalam menentang salahguna kuasa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata, jelajah itu melengkapkan lagi momentum rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri yang sarat dengan skandal, salahguna kuasa dan korupsi.

“Bahkan sepertimana yang pernah diungkapkan oleh ketua parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Sdr Lim Kit Siang sejak awal tahun ini yang menggagaskan Johor sebagai ‘engine head’ kepada perubahan; memperlihatkan bahawa ianya amat relevan dan tidak mustahil sama sekali untuk direalisasikan.

“Pilihanraya umum ke-14 bakal berlaku lebih kurang dua tahun dari sekarang. Saya amat yakin iltizam sedia ada dikalangan rakyat yang mahu Najib segera berundur akan menjadi lebih bulat dan jitu sekiranya program jelajah oleh Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz diteruskan lagi bukan sekadar di Johor, bahkan diseluruh tanah air.” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam jelajah mereka di Johor semalam, tandatangan Deklarasi Rakyat turut diambil sepertimana yang telah ditandatangani oleh para pemimpin politik, NGO serta tokoh-tokoh tanah air pada 4 Mac 2016 yang lalu di ibu kota.

Dalam ucapan mengakhiri jelajah beliau malam semalam di Kampung Lukut Kota Tinggi, Tan Sri Muhyiddin turut mengingatkan agar rakyat khususnya orang Melayu jangan mudah terpedaya dengan tuduhan-tuduhan liar yang cuba mengaitkan isu Tun Mahathir dan Lim Kit Siang kononnya memiliki agenda tersembunyi apabila dua sosok tokoh pemimpin ini bersama-sama menandatangani Deklarasi Rakyat.

Sebaliknya beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia yang sedar dengan kelemahan kepimpinan Perdana Menteri agar turut sama menandatangani deklarasi tersebut demi menyelamatkan Malaysia.

“Saya melihat perkara ini sebagai suatu bentuk ‘grand coalition’ melibatkan semua lapisan rakyat merentasi warna kulit, agama dan fahaman politik dalam menentang salahguna kuasa dan khianat yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

“Sekiranya ‘grand coalition’ ini mampu digerakkan secara konsisten sehingga ke akar umbi, harapan rakyat untuk melihat perubahan kearah Malaysia yang lebih gagah mampu menjadi kenyataan dan Johor akan menjadi pemain utama.” ujarnya.

TAGS