Jenazah Dr Haron Din disolatkan di Masjid An-Noor Santa Clara, San Francisco

Jenazah Dr Haron Din disolatkan di Masjid An-Noor Santa Clara, San Francisco

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Inilah Masjid An-Noor Santa Clara, San Francisco tempat jenazah Mursyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din bakal disolatkan sebelum disemadikan.

Dr Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Sementara itu Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jenazah Dr Haron Din akan dikebumikan di San Francisco.

Beliau dimaklumkan mengenai perkara itu selepas berhubung dengan keluarga Allahyarham.

“Baharu bercakap dengan keluarga TG Dt Dr Harun Din (Tuan Guru Datuk Dr Haron Din). Keluarga sepakat pengkebumian di San Francisco.

“Solat jenazah di Masjid AnNur di sana,” katanya dalam catatan terbaharunya di laman Twitter rasmi beliau hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beliau sudah menguruskan penghantaran jet ke Amerika Syarikat bagi membawa pulang jenazah tokoh agama itu.

Sumber juga memaklumkan bahawa keputusan mengebumikan Allahyarham di Amerika Syarikat dibuat atas wasiat Dr Haron Din sendiri dan peraturan Amerika Syarikat berhubung penghantaran jenazah melalui pesawat yang dianggap merumitkan dan disifatkan sebagai ‘menyeksa mayat’.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.

TAGS