“Jengking Malaya” didakwa sokong IS, letup kelab malam di Puchong

“Jengking Malaya” didakwa sokong IS, letup kelab malam di Puchong

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Seorang operator kilang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap empat pertuduhan termasuk memberi sokongan kepada kumpulan militan IS dan letupan bom di sebuah kelab malam di Puchong, Selangor antara 25 Mac dan 4 Ogos tahun ini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohammad Firdaus Abdullah, 26, selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, dia dituduh memberi sokongan kepada perbuatan pengganas iaitu serangan bom di Kelab Malam Movida di Puchong, dan serangan “dron” ke atas Putrajaya serta Bukit Aman dan sebuah kuil di Bukit Jalil, Kuala Lumpur melalui aplikasi Telegram “amanah (phb) vs pas) menggunakan nama ‘Jengking Malaya’ antara 17 Jun hingga 29 Jun lepas.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas harta yang telah digunakan atau diniat melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua dan keempat, dia didakwa memiliki buku bertajuk ‘Tarbiyah Jihadiyah’ dipercayai berkaitan dengan IS dan al Qaeda di sebuah kediaman dekat Larkin, Johor Bahru pada 4 Ogos lalu dan memberi sokongan kepada IS menerusi Telegram “Gagak Hitam” menggunakan nama “Jengking Malaya” antara 25 Mac hingga 17 Jun lepas.

Bagi dua pertuduhan itu, Mohammad Firdaus didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak barang berkenaan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Okt bagi sebutan semula kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohammad Firdaus dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas dia mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan iaitu memiliki senjata tiruan Jenis Airsoft Gun MK681C2 di kediaman sama pada 4 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Mohd Ghazaly Ali dan Lydiana Mansor.

TAGS