JPS  tambah baik ban pantai Selangor

JPS tambah baik ban pantai Selangor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bercadang menambah baik ban-ban yang dibina di pesisir pantai Selangor sebagai usaha menangani banjir besar akibat fenomena air pasang besar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ban-ban pantai serta struktur pencegahan hakisan dibina bagi mengelak kemasukan air laut ke kawasan daratan terutamanya ketika fenomena air pasang besar berlaku.

Namun, beliau berkata fenomena peningkatan aras laut dunia yang mengakibatkan aras selamat bagi struktur ketinggian ban-ban sedia ada tidak mampu menahan air laut daripada masuk ke kawasan daratan.

“NRE melalui JPS akan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama kerajaan negeri bagi menangani masalah banjir besar yang melanda kawasan pesisir pantai Selangor berikutan fenomena air pasang besar baru-baru ini.

“Dalam isu ini, JPS bercadang menambah baik ban yang dibina di pesisir pantai di Selangor berdasarkan peruntukan dan isu ini turut akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri agar ia diberi perhatian khusus kelak,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Wan Junaidi menjelaskan secara umumnya, julat pasang surut adalah berbeza di setiap kawasan pesisir pantai Malaysia iaitu antara 1.8 meter hingga 6.1 meter.

Kawasan yang mempunyai julat pasang surut yang tinggi dan bertopografi rendah lebih cenderung untuk ditenggelami sekiranya air pasang besar berlaku dan kawasan-kawasan pesisir pantai barat Semenanjung Malaysia secara amnya adalah landai dan rendah, katanya.

“Kejadian tersebut yang tertumpu di kawasan pantai barat terutama di pesisir pantai Selangor adalah disebabkan kedudukan geografi yang paling terkesan oleh fenomena air pasang besar ini,” katanya.

Berdasarkan analisis data pasang surut yang dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk tahun ini dan perbandingan dengan ramalan dibuat daripada perisian pasang surut Google Play, Tide Forecast yang menggunakan data ‘Permanent Service for Mean Sea Level (PSMSL)’ (psmsl.org) menunjukkan fasa bulan penuh jatuh pada 16 hingga 20 Sept.

Katanya ketinggian air pada kali ini mungkin dipengaruhi kesan pertembungan air pasang besar, ombak kuat, pusuan ribut dan angin kencang yang berlaku menyebabkan ia melebihi ketinggian ban dan air melimpah ke bahagian daratan dan seterusnya menyebabkan banjir.

Sebagai persediaan menghadapi bencana banjir, Wan Junaidi berkata JPS bersedia menyalurkan maklumat jadual pasang surut kepada semua penjaga pintu air bagi tujuan operasi pembukaan dan penutupan pintu air, dan aset-aset JPS berupa pam disediakan untuk operasi pengepaman bagi menyalurkan air banjir.

“Makluman dan hebahan kemungkinan banjir serta maklumat jadual pasang surut dipanjangkan kepada agensi-agensi berkaitan dan pelaksanaan kerja-kerja awalan seperti penyelenggaraan serta pembaikan sistem saliran di bawah seliaan JPS sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir,” katanya.

TAGS