Jubah saja cantik tapi hati busuk, selar bekas pimpinan Pas

Jubah saja cantik tapi hati busuk, selar bekas pimpinan Pas

Pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai Penasihat Strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dilihat tidak disenangi pihak Pas.

Portal rasmi parti itu, Harakahdaily kelmarin menyiarkan artikel bertajuk “Saifuddin ‘penimbang tara’ kepentingan DAP?” dengan antara lain mendakwa jawatan tersebut bermotif kepartian bukan demi kepentingan rakyat.

Memulakan artikel sebanyak 16 perenggan itu dengan terjemahan Surah Al-Imran, penulis Izwan Abdul Halim menuduh pelantikan tersebut sebagai “dedak yang ditabur supaya individu atau pihak dilantik akan terikat.”

Mengulas artikel yang dilihat membenci DAP itu, bekas Exco Pemuda Pas, Zulhazmi Shariff yang menjadi ahli DAP sejak Jun 2015 menyifatkan pandangan tersebut “sudah seperti tulisan Awang Selamat di Utusan (Malaysia) yang penuh dengan syak wasangka, prasangka buruk dan busuk.”

“Dalam ramai-ramai yang mengucapkan tahniah, ada juga yang mengutuk, mengata, mempersoal dan yang paling syahdu ialah HarakahDaily melalui wartawan kurang sukunya Izwan Abdul Halim,” bidasnya.

Beliau turut menganggap Pas cenderung bersikap menghukum terhadap sebarang perkara yang bukan berkaitan dengannya sebaliknya menghalalkan apa sahaja yang diperoleh.

“Dasar busuk hati lebai. Bila orang lain dapat semua tak kena. Bila orang lain buat semua tidak halal tapi jika mereka dapat, mereka buat, yang tidak halal akan jadi halal hanya kerana mereka lebai dan pandai memutarbelit ayat suci dan hadith,” ujarnya dipetik dari status Facebook beliau hari ini.

Zulhazmi selanjutnya berhujah dengan mempersoalkan pelbagai jawatan yang dinikmati Pas di Selangor selain pernah diperolehi di Pulau Pinang serta dalam pertubuhan tertentu yang berkaitan dengan kerajaan Umno-BN.

“Di Selangor, mereka diberikan jawatan penting di GLC dengan gaji puluhan ribu. Mereka dilantik menjadi Ahli Majlis. Di Pulau Pinang dulunya ketika mereka hanya satu kerusi pun mereka diberikan pelbagai jawatan. Paling seronoknya dalam keadaan mereka pembangkang, mereka dapat jawatan dalam NGO atau agensi yang ditubuhkan oleh Kerajaan pimpinan Umno Najib.

“Tak rasa ka Umno bagi jawatan tu sebagai ‘dedak’? Tak rasa ka Azmin bagi jawatan dan kekalkan jawatan diGLC Selangor itu juga sebagai “dedak”. Waaaaaa kami tak apa la sebab dasar kami Islam. DAP buat baik pun masuk neraka sebab dasar tidak Islam. Dengki, busuk hati. Jubah saja cantik tapi hati busuk,” bidasnya lagi.

Dalam hal berkaitan, tinjauan Malaysia Dateline terhadap penyiaran artikel itu mendapati rata-rata netizen turut mengkritik sikap pimpinan Pas pada masa ini yang dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Antaranya, Abdul Rahman Hashim yang menganggap pelbagai muslihat strategi pimpinan Pas sejak tujuh tahun lalu kini telah terdedah.

“Segala ‘tembelang’ busuknya strategi yang dimainkan oleh HH (Haji Hadi) dan konco-konconya sejak 2009 lagi telah terbongkar dan sampai sekarang tidak berani bersemuka dengan G18 mahupun menafikannya secara terbuka berdebat/wacana.

“Dengan sedikit habuan dunia dengan berbekalkan falasafah ‘walak’ yang ditanam kepada penyokong Pas … memudahkan Dr Zuhdi memainkan peranan untuk mengucar-kacirkan Pakatan Pembangkang (PR) yang dibina semasa era TGNA (Tuan Guru Nik Aziz),” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Rahim pula menulis, “Allah hukum Abdul Hadi Awang kerana engkar arahan Rasul-Nya. Manusia bernama Abdul Hadi Awang dah celaka negeri Kelantan & Terengganu.”

Pemerhatian Malaysia Dateline juga mendapati Harakahdaily tidak melaporkan sebarang berita berkaitan pelantikan Saifuddin bagi jawatan berkenaan.

TAGS