Jufazli dibebaskan atas jaminan polis hari ini

Jufazli dibebaskan atas jaminan polis hari ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Aktivis muda Sabah, Jufazli Shi Ahmad dibebaskan hari ini dengan jaminan polis selepas reman yang sepatutnya tamat pada 13 November dilanjutkan tiga hari.

Pembebasan Jufazli disahkan oleh peguam Wan Anwar Wan Ibrahim yang mewakilinya ketika ditahan di Semenanjung.

“Memang benar Jufazli sudah dibebaskan selepas selesai semua siasatan tetapi dengan jaminan polis. Bagaimanapun, menurut peguamnya di sana, Norazmi Alimat, beliau akan didakwa sekiranya terdapat kes,” kata beliau seperti dilapor FMT hari ini.

Menurutnya, Jufazli ditahan di Ibu Pejabat Daerah Tawau dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Selepas siasatan di situ selesai, Jufazli dibawa ke IPD Semporna bagi Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan dibebaskan walaupun pada awalnya terdapat berita yang mengatakan kemungkinan tempoh reman beliau dilanjutkan,” katanya.

Pada 9 November lalu, pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah itu ditahan di sebuah pusat membeli-belah susulan kritikanya terhadap kerajaan Sabah, yang antara lain menyentuh isu rasuah RM114.5 juta yang membabitkan seorang pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah.

Jufazli disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar, dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Beliau dihantar pulang ke Sabah pada 11 November untuk disiasat pihak berkuasa di sana

TAGS