Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 12,064

Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 12,064

Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 12,064 orang daripada 4,406 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 12,771 orang daripada 4,584 keluarga malam tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir, sebanyak 27 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di jajahan Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu sebanyak 7,999 orang daripada 3,108 keluarga yang ditempatkan di 19 pusat pemindahan, diikuti jajahan Tumpat sebanyak 4,038 orang daripada 1,293 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Terdapat 27 orang daripada lima keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Pasir Puteh.

Menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 9 meter (m), namun menunjukkan trend penurunan iaitu 9.47m berbanding 9.69m malam tadi.

Paras air Sungai Kelantan semakin surut dan berada di bawah paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 12.62m berbanding 12.89m malam tadi (paras bahaya 16m) manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal.

Keadaan cuaca hari ini dijangka cerah.

 

TAGS