Kadar dividen KWSP rendah bukti ekonomi negara membimbangkan

Kadar dividen KWSP rendah bukti ekonomi negara membimbangkan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penurunan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2015 membuktikan ekonomi negara berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan tindakan proaktif, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Katanya, walaupun pasaran ekonomi dunia mengalami susut nilai dengan kejatuhan harga minyak dan kelapa sawit namun kerajaan persekutuan perlu memberi fokus kepada pelaburan yang boleh memberi pulangan positif.

“Pulangan diterima kini agak rendah dengan anggaran pulangan untuk tahun ini tidak begitu menggalakkan sekaligus menjelaskan ekonomi Malaysia tidak mencapai sasaran baik.

“Keadaan ini ditambah lagi kejatuhan nilai harga bahan mentah dan kelapa sawit yang turut menjejaskan pulangan kewangan pendapatan negara,” kata Charles ketika dihubungi Selangorkini.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan pembayaran dividen 2015 ialah sebanyak RM38.24 bilion bersamaan 6.40 peratus yang menyaksikan penurunan sebanyak 0.35 peratus berbanding tahun sebelumnya, 6.75 peratus.

Penganalisis politik, Datuk Dr Wan Suhami Wan Daud berkata, penurunan ini mengesahkan KWSP kini berdepan masalah kewangan yang akhirnya memberi kesan kepada pencarum dan pendepositnya.

“Negara sedang mengalami masalah kewangan serius ditambah pula apabila Kerajaan Persekutuan membuat pinjaman daripada KWSP dan pelaburan kurang menguntungkan.

“Ini akhirnya menjejaskan peratusan pulangan kepada pencarum,” katanya.

TAGS