Kaji selidik dapati rakyat Malaysia terokai dunia kerana makanan

Kaji selidik dapati rakyat Malaysia terokai dunia kerana makanan

Makanan. Nikmat yang tiada bandingan.

Makanan sentiasa menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia, termasuklah ketika mereka menikmati percutian, demikian disimpulkan satu kaji selidik yang dilakukan BlackBox Research untuk Tourism New Zealand.

Kaji selidik itu mendapati lapan daripada setiap 10 (80 peratus) rakyat Malaysia lebih memberi tumpuan terhadap makanan dan menjamu selera merupakan aktiviti yang paling mereka gemari apabila bercuti di sesebuah negara.

Kaji selidik melibatkan 1,000 responden itu juga mendapati 50 peratus daripada pengembara Malaysia menghargai masa berkualiti yang mereka habiskan bersama keluarga dan sahabat handai ketika bercuti, diikuti menikmati keindahan alam semula jadi (43 peratus) dan bersantai di pantai (43 peratus).

Pengurus Tourism New Zealand bagi rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara Steven Dixon berkata kegemaran rakyat Malaysia terhadap makanan bukanlah rahsia lagi bagi rakyat New Zealand.

Katanya, terdapat banyak tempat di New Zealand yang sentiasa bersedia memenuhi selera pengembara dari Malaysia.

New Zealand menawarkan pelbagai makanan lazat di seluruh negara.

Daripada menjamu selera dengan menikmati hidangan tradisional dikenali sebagai ‘Hangi’ di bahagian tengah North Island, hinggalah kepada kelazatan udang getak yang segar di Kaikoura, setiap rakyat Malaysia tidak menghadapi masalah untuk memenuhi selera mereka di mana sahaja apabila berada di New Zealand, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dixon berkata Tourism New Zealand menyediakan Panduan Makanan Halal untuk memenuhi keperluan pelancong beragama Islam, yang boleh dimuat turun melalui www.newzealand.com/my/feature/halal-guide-for-new-zealand/.

Dilancarkan tahun lepas, panduan itu memberi maklumat tentang opsyen hidangan halal yang terdapat di negara berkenaan.

Ini termasuk senarai restoran dan kafe yang mempunyai sijil pengesahan Halal serta yang menyediakan hidangan daripada sayur-sayuran, kata Dixon.

Terdapat juga pelbagai acara berkaitan makanan sepanjang tahun di New Zealand, yang memberi peluang kepada pengembara dari Malaysia bukan sahaja untuk menikmati budaya makanan negara itu, tetapi juga mengisi masa bersama orang tersayang.

Antara acara yang dimaksudkan ialah ‘Wellington on a Plate’, festival masakan tahunan yang diadakan pada Ogos apabila restoran dan medan selera menghidangkan masakan baharu dan berbeza sepanjang dua minggu bagi memenuhi selera setiap pengunjung.

Menurut Dixon, pengembara dari Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menikmati percutian di New Zealand.

Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk memasuki New Zealand dan ini begitu memudahkan mereka untuk berkunjung ke New Zealand bagi menikmati percutian sambil menjamu selera.

Selain itu, kata beliau, terdapat penerbangan terus dari Malaysia ke New Zealand yang disediakan Malaysia Airlines, di samping opsyen penerbangan dengan satu persinggahan menarik yang disediakan beebrapa syarikat penerbangan, termasuk Singapore Airlines.

CATEGORIES