Kajian enakmen, tatacara jenayah syariah diperingkat akhir, kata MB

Kajian enakmen, tatacara jenayah syariah diperingkat akhir, kata MB

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kajian ke atas Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 kini di peringkat akhir untuk menentukan sama ada ia perlu dipinda atau diwujudkan enakmen baharu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini memandangkan ada di antara fasal-fasal tertentu di dalam enakmen berkenaan yang tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan dalam keadaan semasa ketika ini, yang sekali gus menyukarkan proses pendakwaan dan jatuh hukum.

“Ini kerana ada di antara (fasal tertentu dalam) enakmen kita yang sudah tidak sesuai, ada (fasal tertentu) di dalam enakmen itu yang baik tapi kaedahnya dah tak sesuai lagi dan ada (fasal tertentu dalam) enakmen yang langsung tak ada kaedah.

“Jadi susah kita nak menjalankan pendakwaan dan bila nak menjatuhkan penghakiman. Hujah-hujah akan boleh dibuat disebabkan kelemahan-kelemahan pentadbiran ini dan ia akan mencacatkan sistem pentadbiran dan sistem kehakiman kita…akan menjadi suatu kelompongan yang orang boleh gunakan kelemahan ini untuk berdebat dan mempersendakan sistem kehakiman syariah itu, katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Sembilan di sini. Turut hadir Mufti Kerajaan Negeri Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Ketua Hakim Syarie Negeri Datuk Mohd Shukor Sabudin.

Seramai 43 peguam syarie menerima pentauliahan pada majlis tersebut.

Mohamad berkata kajian itu, yang disertai Mufti, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Datuk Iskandar Ali Dewa, Ketua Hakim Syarie Negeri, ahli akademik, pakar perundangan dan pengerusi persatuan peguam syarie, adalah bagi memperkasakan sistem perundangan kekeluargaan, pentadbiran agama dan sistem kehakiman syariah dan jenayah syariah.

Sementara itu, Mohamad berkata bagi memperkasakan sistem kehakiman syariah di negeri ini, kerajaan negeri telah memperakukan dan meluluskan penubuhan Jabatan Pendakwaan, sebuah entiti berasingan yang sebelum ini diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri.

“Kita sedang berunding sekarang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk mendapatkan waran-waran perjawatan supaya pendakwa raya tidak lagi di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

“Ini supaya kita nampak sistem kehakiman syariah dari peringkat pendakwaan sampailah perbicaraan dan penghakimannya merupakan satu sistem yang berdikari dan tidak dinaungi oleh mana-mana pihak. Kita perlukan lebih ramai pendakwa raya bagi melicinkan urusan pentadbiran syariah kita,” katanya.

Mohamad dalam pada itu turut menyentuh mengenai keperluan sistem berperingkat di Mahkamah Syariah yang menyamai sistem lima peringkat Mahkamah Sivil iaitu Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Kita akan ada selepas Mahkamah Rendah, Mahkamah Pertengahan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan kalau tak mahu pun pakai (nama) Mahkamah Persekutuan kerana sistem Agama Islam ini adalah hak negeri-negeri mengikut jadual masing-masing, maka saya cadangkan supaya ditubuhkan suatu mahkamah khas yang mana hakimnya dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri dan akan mewakili negeri di mana kes itu didengar,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shukor dalam ucapannya berkata Jabatan Kehakiman Syariah Negeri juga bersedia menerima Hakim Syarie Wanita dalam memastikan kelancaran tugas-tugas pentadbiran dan urusan perundangan syariah.

“Persepsi masyarakat Islam khususnya di Negeri Sembilan bertambah positif terhadap Mahkamah Syariah dengan kewujudan atau kehadiran hakim-hakim wanita ini,” katanya.

TAGS