Kalau tiga penjuru maknanya Pas diperkuda Umno, kata Mukhriz

Kalau tiga penjuru maknanya Pas diperkuda Umno, kata Mukhriz

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sekiranya ditakdirkan berlaku pertandingan tiga penjuru ekoran keengganan Pas menyertai kerjasama bersama pembangkang, ia bermakna parti Islam itu telah berjaya diperkudakan Umno, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Berucap di program sembang santai di Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam kelmarin bekas Menteri Besar Kedah itu berkata Pas tidak akan untung jika pertandingan tiga penjuru berlaku.

“Kalau tiga penjuru saya nampak seolah-seolah Umno ini perkuda Pas. Dia guna Pas hanya untuk pecah undi pembangkang dan akhirnya Umno untung. Jadi kat mana untung untuk Pas,” katanya.

Mengharapkan telahannya itu silap, namun Mukhriz berkata jika Pas mahu bersama Umno, parti itu perlu bertegas agar tidak belaku pertandingan tiga penjuru khususnya dengan Umno itu sendiri.

“Kalau depa nak bersama Umno saya ingat itu keputusan silaplah. Tapi kalaulah dia nak bersama Umno, pakat dengan Umno betul-betul biar berlaku satu lawan satu,” pesannya agar Pas tidak hanya menjadi mangsa percaturan politik Umno.

Bagaimanapun kata Mukhriz, peluang untuk Pas menang adalah lebih cerah jika parti itu memilih untuk bekerjasama dengan PPBM dan Pakatan Harapan dan melawan BN secara satu lawan satu.

Ini kerana katanya, jika pertandingan satu lawan satu menentang BN, tidak akan berlaku perpecahan undi sekaligus akan meberi saingan sengit kepada BN.

“Tapi kalau bersama dengan kami, akan wujud keadaan di mana peluang untuk Pas menang lebih tinggi berbanding bersama Umno. Kalau dengan Umno, bertanding kerusi sama berebut pengundi sama,” katanya.

Sementara itu, turut serta pada program itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Adun Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah.

TAGS