Kami bukan penceroboh, tegas bekas pegawai masjid

Kami bukan penceroboh, tegas bekas pegawai masjid

“Saya tinggal di sini dengan kebenaran bertulis daripada bekas setiausaha masjid, Zakaria Md Noh. Surat saya dilantik sebagai siak daripada JAIS juga ada.”

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

“Saya tinggal di sini dengan kebenaran bertulis daripada bekas setiausaha masjid, Zakaria Md Noh. Surat saya dilantik sebagai siak daripada JAIS juga ada.”

Itu luahan bekas pegawai Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Abdul Razak Said selepas diarahkan Pentadbir Tanah Petaling supaya mengosongkan tanah di Lot 1210 Mukim Sungai Buloh yang dihuninya sejak tahun 1996.

Beliau berkata, dakwaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kononnya beliau dan sebuah keluarga lagi, Yaakob Abdul menceroboh lokasi berkenaan adalah sebagai tidak adil.

“Kami bukan penceroboh. Dalam kawasan ini, ada dua rumah, kedai dan rumah tetamu. Ini kawasan penempatan awal pegawai masjid sejak 20 tahun lalu. Kami buat (rumah) betul-betul dalam kawasan masjid. MAHB memang tidak tahu fakta langsung,” jelasnya ketika sidang media di perkarangan kedai makan berdekatan masjid itu.

Sehubungan itu, Abdul Razak menggesa supaya satu rundingan berkaitan pampasan atau rumah dan kedai alternatif sewajarnya diadakan terlebih dahulu.

“Pada 28 September lalu, pihak MAHB ada beri surat notis 30 hari supaya kami mengosongkan tanah tetapi kami hantar surat minta supaya diadakan rundingan tentang pampasan.

“Tapi 9 November lepas, Pentadbir Tanah Petaling beri pula notis selama 14 hari untuk kosongkan kawasan ini. Kami minta supaya MAHB dan pihak-pihak terbabit dapat berbincang.

“Kami tidak minta yang lebih-lebih. Kita minta pampasan yang sepatutnya. Itu yang kami minta daripada MAHB dan pejabat tanah,” ujar Abdul Razak lagi.

Surat Pentadbir Tanah Petaling bertarikh 9 November yang ditandatangani oleh Penolong Pegawai Daerah Penguatkuasa, Mohd Farid Shaharir turut menyertakan butiran Seksyen 425 berkaitan pendudukan secara tidak sah tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

Menurut peruntukan tersebut, tindakan tanpa kebenaran yang sah menduduki atau membina bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau perlombongan adalah satu kesalahandan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun.

TAGS